PRK CAMERON l Ketua-ketua kampung
Orang Asli atau tok batin di Cameron Highlands mungkin kehilangan gaji
dan jawatan mereka jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada pilihan
raya kecil 26 Jan ini.
Amaran itu dinyatakan oleh senator PKR,
Bob Manolan Mohd pada sesi dialog dengan tok-tok Batin di kubu BN di Pos
Betau, Jelai pagi ini.
"Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu Batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.
"Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.
"Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia," katanya.
Bob sendiri berasal dari masyarakat Orang Asli dan mewakili komuniti itu di Dewan Negara.
Menurut Bob, pemimpin masyarakat Orang Asli dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kini perlu menyokong agenda kerajaan.
Mereka
yang hadir dalam majlis itu terdiri daripada ketua-ketua dan wakil
daripada 18 perkampungan Orang Asli Semai dari kawasan terbabit.
Sebelum
ini ketua-ketua kampung Orang Asli dibayar antara RM800 dan RM1,200
berdasarkan jumlah penduduk dan keluasan sesuatu kampung berkenaan.
Bob menjelaskan, kerajaan PH hanya mahukan ketua-ketua kampung yang boleh bekerjasama dengan mereka demi kebaikan rakyat.
"Kalau
mereka tak boleh bekerjasama dengan kerajaan sekarang ini, bagaimana
kita nak lantik dia jadi pemimpin masyarakat kampung?
"Dasar
kerajaan sekarang bukan seperti kerajaan dahulu, kerajaan sekarang
pemimpin Orang Asli itu mesti membela nasib anak buah mereka, kebajikan
mereka
"Masalah kampung mesti mereka ketengahkan kepada kerajaan, bukan mengikut kerajaan dulu, angguk-angguk yes-yes semua.
"Janji duit masuk tiap-tiap bulan. Ini kita tak boleh terima," katanya.
'Kapal' Ramli nak tenggelam
Sementara
itu, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah
Raja Puji menggesa ketua-ketua masyarakat Orang Asli agar tidak
menyokong calon BN, Ramli Mohd Nor.
Ramli merupakan bekas pegawai
tinggi polis yang pernah memegang jawatan tertinggi di kalangan Orang
Asli dalam pasukan keselamatan itu.
"Walaupun calon dia bagus daripada Orang Asli tetapi parti yang diduduki ialah parti yang nak mati. Betul?
"Walaupun orang itu bagus, tapi parti yang dia duduk parti yang nak mati, macam mana nak bawa?" soalnya.
Dalam
pada masa sama, Bob juga menggesa mereka menolak Ramli pada pilihan
raya kecil itu kerana didakwa bersama parti yang 'menipu' Orang Asli.
"Kenapa bersekongkol dengan parti yang tipu Orang Asli? Mana maruah dia? " soal beliau.
Timbalan
menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, Anggota Parlimen
Bentong Wong Tack, Adun Ketari, Young Syefura dan senator Adrian
Lasimbang turut bercakap pada majlis itu.
Sesi dialog itu dianjurkan oleh pusat khidmat parlimen Raub dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa) Kuala Lipis.
Penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands akan diadakan esok (12 Jan) manakala hari mengundi ditetapkan pada 26 Jan.
Berdasarkan data pada PRU14, kawasan parlimen itu terdiri daripada kira-kira 20 peratus masyarakat Orang Asli.
Selain
Ramli, timbalan pengerusi DAP Pahang M Manogaran dan Presiden MyPPP
yang dipertikaikan, M Kayveas turut mengumumkan sebagai calon dalam PRK
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan