HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Jun 2019

Eksport 14% di bawah BN lebih tinggi daripada 1.1% pada April, kata Najib


FMT Reporters

 
 
PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan, Najib Razak hari ini mengkritik penggantinya kerana berbangga dengan eksport negara pada April lalu yang mencatatkan pertumbuhan positif 1.1% kepada RM85.2 bilion, petunjuk awal perkembangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ke-2 yang lebih memberangsangkan.
Beliau mengingatkan Lim Guan Eng mengenai kadar pertumbuhan eksport di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada April tahun lalu yang mencecah 14%.

“Untuk seluruh 2017, purata pertumbuhan eksport negara setiap bulan adalah 18.9%.

“Masa itu, dia kata ekonomi kita dalam krisis dan negara dah melingkup.

“Dia ini sedar tak bahawa 14% adalah lebih besar daripada 1.1%?” soalnya dalam catatan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Lim dilaporkan berkata, import meningkat 4.4% tahun ke tahun pada April lalu, menunjukkan permintaan domestik kukuh dan seiring pertumbuhan suku ke-2 yang mantap.

“Ini berlaku selepas KDNK bagi suku pertama berkembang sebanyak 4.5% daripada setahun lepas dan mengatasi konsensus pasaran terbitan Bloomberg sebanyak 4.3%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada RM159.5 bilion pada April lalu, selepas menokok 2.6% tahun ke tahun daripada RM155.5 bilion setahun lalu.

Tiada ulasan: