HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Jun 2019

JIKA ADA RASA MALU, PM SEPATUTNYA BOLEH BERI TOL PERCUMA SEMINGGU SEMPENA HARI RAYA INI



Hasil carian imej untuk FOTO RUMAH TOL
( Gambar hiasan )

Walaupun peneroka Felda sudah boleh menarik lepas lega apabila kerajaan mengumumkan pemberian duit raya sebanyak RM300, tetapi nampaknya masih belum ada sebarang berita gembira berkaitan diskaun tol lebuhraya.

Dalam pengumuman beberapa hari lalu, Menteri Kerjaraya, Baru Bian menyatakan pada tahun ini kerajaan hanya memberikan diskaun tol antara 10 hingga 30 peratus pada Hari Raya pertama saja.

Ini berbeza dengan tahun lalu di mana diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari diberikan di Lebuhraya Plus Utara – Selatan.

Banyak pihak terlihat tidak puas hati dengan keputusan kerajaan kali ini kerana pada Hari Raya pertama tidak banyak pengguna jalanraya yang menggunakan lebuhraya.

Sebaliknya, pada hari tersebut orangramai sudah pun berada di kampung masing-masing dengan sibuk berziarah dan kunjung mengunjung sambil menikmati ketupat dan lemang.

Jadi, untuk siapakah diskaun tol itu diberikan atau kerajaan sekadar ingin melepas batuk di tangga saja?

Orangramai sebenarnya mula sibuk menggunakan lebuhraya pada dua tiga hari sebelum Hari Raya untuk balik ke kampung dan kemudian dua tiga hari lagi selepasnya untuk berziarah ke rumah saudara mara yang jauh atau balik semula ke ibukota sebagai tempat mencari rezeki.

Oleh itu, sepatutnya jika mahu memberi diskaun tol serta memberi manfaat kepada rakyat, ia sepatutnya diberi pada sekurang-kurangnya dua hari sebelum Hari Raya dan dua hari lagi selepasnya.

Atau, paling mudah berilah diskaun tol selama lima enam hari atau seminggu sempena Hari Raya ini.

Kalau itu dilakukan, maka barulah betul kerajaan benar-benar dilihat ada sikap prihatin mahu meringankan beban kehidupan rakyat.

Tetapi, dengan hanya memberi diskaun pada Hari Raya pertama di mana tidak banyak pengguna berada di lebuhraya, kerajaan sebenarnya hanyalah prihatin dan memihak kepada syarikat-syarikat besar yang memiliki konsesi tol tersebut.

Berbeza dengan peneroka Felda, walaupun pada awalnya kerajaan mengumumkan tiada duit raya untuk tahun ini, tetapi berikutan desakan ramai, kerajaan akhirnya akur dan sedia memberikan sebanyak RM300 kepada setiap keluarga.

Mengapakah untuk diskaun tol ini, kerajaan dan Perdana Menteri masih memekakkan telinga, meskipun sudah ramai yang bersuara berkenaan dengannya?

Kalau berkaitan peneroka Felda, kerajaan sanggup buat U-Turn, kenapa masih jalan terus saja dalam hal diskaun tol ini?

Apakah kerajaan tidak prihatin kepada pengguna lebuhraya yang ramai juga antaranya adalah rakyat biasa-biasa saja?

Dalam hal ini, jika kerajaan punya timbangrasa serta ada sedikit rasa malu berikutan masih gagal menunaikan janji menghapuskan tol sebagaimana dijanjikan dalam manifesto PRU14 lalu, mereka sepatutnya boleh menggembirakan rakyat dengan mengumumkan semua lebuhraya bebas tol atau tol dipercumakan selama seminggu sempena Hari Raya ini.

Apalah sangat memberi tol percuma selama seminggu berbanding janji menghapuskan tol selama-lamanya yang sehingga kini masih lagi janji tinggal janji!

Apalah sangat juga memberi tol percuma selama seminggu berbanding sokongan rakyat kepada PH untuk menumbangkan BN!

Tapi, entahlah…adakah Tun Mahathir dan kerajaan ini masih punya perasaan malu?

Tiada ulasan: