HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Jun 2019

Ketepi gajet ketika Aidilfitri

Hairulazim Mahmud
 
 

JANGAN leka dengan gajet dan Internet pada musim perayaan. Itu nasihat pakar pembangunan media sosial dan media baru, Prof Madya Dr Ali Salman kepada umat Islam yang akan merayakan Aidilfitri minggu ini.

Beliau yang juga Pensyarah Komunikasi dan Media Universiti Taylor’s berkata, Aidilfitri sepatutnya menjadi medan untuk bersilaturrahim sesama umat Islam termasuk sanak saudara dan sahabat handai.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya pengguna memiliki sikap mengawal diri sendiri berkaitan penggunaan gajet dan Internet melampau pada musim perayaan ini.

“Khususnya mereka yang sudah dewasa, janganlah asyik dengan gajet dan Internet atau bermain Facebook semasa menerima tetamu kerana itu pastinya akan membuatkan mereka tidak selesa dengan sikap endah tak endah itu.

“Manfaatkanlah sepenuhnya amalan kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas mengenai penggunaan gajet yang tidak terkawal oleh segelintir masyarakat menjelang Aidilfitri.


PROF Madya Dr Ali Salman.

Ali berkata, ketagihan penggunaan gajet atau melayari Internet yang melampau tidak akan membawa kebaikan kepada pengguna.

Katanya, kerana itu mereka sentiasa perlu diingatkan supaya sikap seperti itu akan membuatkan orang sekeliling terganggu dan tidak selesa.

“Tetamu dan rakan pasti akan berasa terganggu dengan sikap tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Sepatutnya peluang untuk bertemu mereka perlu dihargai lebih-lebih lagi jika sudah lama tidak berjumpa, tapi apabila jumpa, main gajet pula,” katanya

Katanya, jika isu itu membabitkan kanak-kanak ia adalah situasi yang berbeza kerana tugas mereka bukan melayan tetamu.Katanya lagi, mereka mungkin akan bermain ‘game’ tetapi perlu diingatkan kanak-kanak akan bersama rakan mereka.

“Mereka tidak melayan tetamu, yang tugas itu oleh yang dewasa tetapi jika yang dewasa sibuk melayan gajet, itu sudah tidak kena,” katanya.

Tiada ulasan: