ISMA WEB
Pelajar kolej antara 4 remaja jadikan lebuh raya trek haram ditahan
BUTTERWORTH– Empat remaja lelaki yang menjadikan cuti sempena
Aidilfitri untuk berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR),
ditahan polis di sini, malah turut mempamerkan pelbagai aksi tunggangan
berbahaya.
Mereka yang berusia antara 18 hingga 22 tahun itu
ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang di jalankan Skuad 42 dari Unit Risikan
dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen
Polis (IPK) Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP
Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mengadakan operasi berkenaan bermula jam
1.15 pagi tadi selepas tiga hari umat Islam menyambut Aidilfitri berikutan
menerima aduan ada geng mat rempit berlumba haram di lebuh raya berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati mereka mula menunggang
motosikal secara berbahaya dari Plaza Tol Bagan Ajam menuju ke arah pelabuhan
NBCT sebelum berpatah balik dengan melawan arus.
“Mereka ditahan sebaik berhenti di kawasan Rehat
dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, pemeriksaan mendapati seorang daripada
empat remaja yang ditahan adalah pelajar kolej manakala yang lain bekerja
sendiri,” katanya.
Beliau berkata, polis turut mengeluarkan saman
kerana tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tiada cermin sisi, tiada nombor
plat hadapan dan ubah suai motosikal. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan