HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Jun 2019

MH17: Russia kesal kenyataan JIT, Ukraine temui jawapan dicari

Tengku Faezah Tengku Yusof   

Moscow digesa bertanggungjawab bekal peluru berpandu BUK TELAR

KUALA LUMPUR– Rusia menyifatkan kenyataan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang diketuai Belanda, semalam, berhubung dakwaan pembabitan anggota keselamatan Russia dalam tragedi penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines yang ditembak jatuh pada 2014, sebagai ‘amat dikesali’.

“JIT terus mengemukakan hujah-hujah yang tidak munasabah sepenuhnya, sesetengah daripadanya adalah berdasarkan sumber maklumat yang meragukan, manakala data yang dikemukakan hasil siasatan yang dilakukan Russia terus diabaikan dengan sengaja,” demikian menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Persekutuan Russia melalui kedutaannya di Kuala Lumpur, semalam.

Russia turut menafikan tuduhan yang dilontarkan oleh wakil JIT bahawa ia tidak memberikan kerjasama penuh.

“Dari hari pertama tragedi itu, Russia telah menunjukkan minat untuk mencari kebenaran dan sedia membantu siasatan dalam semua aspek. Russia secara aktif telah bekerjasama dengan Belanda dan menyerahkan semua maklumat yang dimiliki berkaitan nahas MH17,” katanya.

Selain itu, Russia mempersoal tindakan mengurangkan usaha-usahanya dan menjadikan negara itu seolah-olah memegang peranan kedua dalam siasatan nahas MH17, manakala Ukraine diangkat sebagai peserta penuh dalam JIT.

“Bagaimanapun, Persekutuan Russia akan terus membantu siasatan itu agar kebenaran mengenai nahas MH17 terserlah dan pesalah yang sebenarnya dihukum,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kedutaan Ukraine di Malaysia dalam satu kenyataan kepada Bernama berkata, pengumuman JIT mengenai kes itu adalah penting kerana ‘ia memberikan jawapan yang dicari-cari’ berkaitan asal usul senjata yang digunakan untuk menembak pesawat malang itu, serta penganjur operasi terbabit.

“Ukraine ingin menonjolkan fakta bahawa pendakwaan suspek dalam merancang terlebih dahulu dan melakukan jenayah berhubung tindakan menembak jatuh MH17 adalah berkaitan dengan tanggungjawab Russia sebagai sebuah negara kerana melanggar beberapa konvensyen, sehingga memungkinkan jenayah ini berlaku.

“Antaranya ialah pelanggaran Konvensyen Antarabangsa bagi Penindasan Pembiayaan Keganasan, yang menjadi subjek perbicaraan kes Ukraine terhadap Russia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa,” katanya.

JIT, yang ditubuhkan oleh Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, telah mengetuai siasatan sejak Persekutuan Russia memveto draf Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yang dimulakan oleh Malaysia pada Julai 2015, menggesa penubuhan satu tribunal antarabangsa, katanya.

“Kami menggesa Persekutuan Russia untuk mengakui tanggungjawabnya kerana membekalkan senjata api dan memberikan kerjasama dalam siasatan itu, seperti yang ditetapkan oleh Resolusi 2166 UNSC pada 17 Julai 2014,” menurut kenyataan kedutaan Ukraine itu.

Akhbar The New York Times, semalam, melaporkan bahawa JIT telah mengumumkan pertuduhan menembak jatuh Penerbangan MH17 terhadap Igor Girkin, bekas kolonel di Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Russia; dan Sergey Dubinsky serta Oleg Pulatov, kedua-duanya bekerja dengan agensi perisikan tentera Russia yang dikenali sebagai GRU.

Laporan itu berkata, pendakwaan turut mendakwa Leonid Kharchenko, seorang rakyat Ukraine yang mengetuai kumpulan pemisah yang disokong Russia di bawah perintah Dubinsky.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam ketika ia ditembak sebelum terhempas berhampiran Torez di Donetsk Oblast, Ukraine – kira-kira 40 kilometer dari sempadan Russia – pada 17 Julai 2014.

Nahas itu mengorbankan 298 orang termasuk 15 anggota kru MH17.

JIT berkata, pasukan itu yakin bahawa peluru berpandu jenis BUK TELAR telah digunakan bagi menembak jatuh MH17 dan ia berasal dari Briged 53 (Peluru Berpandu Anti-Pesawat), yang juga unit di bawah Tentera Darat Russia di Kursk dalam Persekutuan Russia. – Bernama


Tiada ulasan: