HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Jun 2019

Pakar: Tekanan, personaliti punca kes buli jalanan


   
Kes buli jalan raya yang kian meningkat kini lebih banyak dipengaruhi personaliti pelaku berbanding faktor kesihatan mental, kata pakar psikologi Prof Dr Mohamad Hussain Habil.

Pensyarah Universiti Mahsa itu berkata personaliti yang cenderung ganas didorong faktor luaran dan juga genetik.

"Sebenarnya kes-kes melibatkan individu disebabkan personaliti mereka...wujud sama ada kerana dorongan tekanan dan gagal mengendalikannya dengan baik. Ada juga kes berkaitan unsur genetik.

"Mereka yang biasanya terdedah kepada masalah keganasan termasuk buli jalan raya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kata pakar psikologi dari Universiti Malaya Prof Dr Mariani Md Nor pula, tekanan tersebut diburukkan lagi oleh persekitaran seperti kesempitan hidup dan masalah rumah tangga.

Hal seumpama itu boleh menjejaskan keupayaan individu tersebut untuk membuat keputusan yang rasional, katanya.

"Ditambah dengan sikap diri dan peribadi yang boleh mendorong kepada perlakuan yang tidak dapat dikawal oleh akal fikiran, maka berlakulah insiden seperti buli jalan raya, yang boleh mengundang kecelakaan.

"Selain faktor individu sendiri, faktor persekitaran dari orang lain boleh menjadi pencetus, seperti 'bom masa' yang hendak meletus," katanya kepada Malaysiakini.

Mereka diminta menguas ke buli jalan raya terbaru, melibatkan Danial Abdullah Tan yang menghentak cermin sebuah kereta dengan topi keledarnya.

Menurut laporan, Danial berkata pemandu, Siew Chean Boon, 58, hampir melanggarnya dua kali dan memaksanya menghimpit kereta tersebut untuk bercakap dengan pemandu tersebut.

Bagaimanapun pemandu itu menunjukkan isyarat jari tengah, menyebabkannya hilang kawalan dan memecahkan cermin keretanya.

Danial didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. Dia mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan.

Beberapa peguam berpandangan hukuman tersebut terlalu berat. Antaranya Siti Kasim yang berkata denda, ganti rugi, permohonan maaf dan sesi kaunseling lebih bermanfaat kepada semua pihak.

Tiada ulasan: