HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Jun 2019

Polis belum terima laporan papan tanda Dr M, Azmin disimbah cat


   
Polis Jempol masih belum menerima sebarang laporan mengenai sebuah papan iklan yang memaparkan gambar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang disimbah cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Muhd Nur Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Bernama berkata, beliau mengesahkan kejadian tersebut berlaku di sebuah selekoh di Felda Palong Tujuh dan Lapan di Negeri Sembilan.

“Saya ada menerima maklumat berkenaan daripada anggota mengenai isu berkenaan namun masih belum ada mana-mana pihak yang membuat laporan," katanya hari ini.

Terdahulu, sebuah portal media melaporkan berkenaan insiden berkenaan yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota PKR.

Ketua Cabang PKR Jempol Karip Mohd Salleh berkata papan iklan yang turut menyalurkan maklumat mengenai pembaharuan hala tuju Felda itu disedari pihaknya ketika melalui selekoh di kawasan berkenaan.

Karip yang juga Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan dipetik sebagai berkata satu laporan polis akan dibuat berhubung isu berkenaan.- Bernama

Tiada ulasan: