HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Jun 2019

Shamsul perjelas sebab lantik Haziq jadi SU sulit kanan

MALAYSIAKINI

   

Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin menjelaskan sebab beliau melantik Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai setiausaha sulit kanannya.

Ini susulan dakwaan MP PKR itu mempunyai niat tersembunyi dalam berbuat demikian.

Menolak dakwaan itu, Shamsul berkata beliau seperti juga orang lain terperanjat apabila Haziq mendakwa Timbalan Presiden PKR Azmin Ali ialah individu di dalam klip video yang memaparkan kedua mereka dalam perlakuan seks.

"Tindakan beliau ini sangat mengejutkan dan tentunya sama sekali tidak diduga.

"Saya menyeru pihak-pihak yang membuat tohmahan tidak berasas dan fitnah liar kononnya saya mempunyai agenda tertentu dengan perlantikan Haziz agar segera menghentikan tuduhan tersebut.

"Saya juga tegaskan bahawa saya menolak sebarang politik kotor yang ingin mencemarkan nama baik mana-mana pemimpin ataupun individu,” katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Dikecam sebab ambil Haziq bekerja

Beliau menggesa semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan memfokuskan terhadap isu yang lebih penting kepada rakyat.

Dalam kenyataannya, Shamsul berkata beliau telah dikecam di media sosial kerana mengambil Haziq sebagai pembantunya.

Minggu lalu, Shamsul mengumumkan Haziq digantung daripada tugasnya dan diberikan amaran dengan surat tunjuk sebab.

Beliau mengingatkan bahawa Haziq mempunyai sejarah panjang dengan PKR semenjak berusia 19 tahun lagi.
"Haziq mempunyai sejarah yang agak lama dengan PKR.

"Saya difahamkan bahawa sejarah awal politik beliau adalah bermula dengan parti PKR ketika beliau baru berumur 19 tahun.

"Saya mula mengenali Haziq sekitar tahun 2012 dimana beliau pada ketika itu beliau adalah pengasas dan presiden Mahasiswa Keadilan Universiti Malaya sebuah sayap pelajar PKR.

"Sebelum dilantik bekerja di Kementerian Industri Utama, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa pimpinan PKR di antaranya menjadi pelatih (intern) di firma guaman Baru Bian, sekarang ini menteri kerja raya, pelatih bersama Lawyers for Liberty, pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan setiausaha akhbar Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co.

"Beliau juga pernah membantu saya dalam hal-hal yang berkaitan penyelidikan parlimen dan juga merupakan penghubung kepada pemimpin-pemimpin muda di dalam PKR," katanya.

Bagaimanapun, bercanggah dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap Haziq, Shmasul berkata bekas setiausaha sulit kanannya itu tidak pernah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

"Haziq pernah membuat akuan bersumpah memaklumkan bahawa beliau tidak pernah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan perkara ini telah disahkan oleh Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak, Awang Bujang Awang Antek.

"Penglibatan beliau dengan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri hanyalah sebagai seorang pelatih Perdana Fellow," kata SHamsul sambil menjelaskan PKR Sarawak memberitahunya Haziq tidak pernah keluar parti.

"Haziq mula memohon untuk bekerja di kementerian setelah Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) saya yang pertama meletakkan jawatan. Saya juga ada menerima beberapa permohonan lain untuk jawatan berkenaan.

"Setelah ditemuduga dan mengambilkira kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran dan juga keperluan Kementerian Industri Utama untuk wakil daripada Sarawak dan Sabah, Haziq secara strategiknya merupakan calon yang sesuai untuk jawatan berkenaan," jelasnya lagi.

Tiada ulasan: