Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menghantar mesej
jelas bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada "pembuli dari dunia
bebas", menurut Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.
Syed Saddiq menulis usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menghukum Huawei atas tuduhan mengintip, yang katanya masih lagi bersifat andaian pada masa ini, merupakan suatu tindakan yang penuh kepura-puraan.
Dakwanya, ini kerana Agensi Keselamatan Negara (NSA) secara rutin mengintai rakyat AS sendiri melalui akses data pelanggan yang diperolehi daripada Facebook, Google dan Apple.
"Sebab sebenar penggubal undang-undang AS menggesa sekatan terhadap Huawei adalah untuk melindungi firma seperti AT & T daripada jatuh.
"Motif Huawei dipacu secara ekonomi, ia mahu mendapatkan bahagian pasaran yang lebih besar dan meningkatkan peluang pekerjaan.
"Oleh sebab itu, terdapat insentif untuk Huawei mengekori secara dekat atau risiko kehilangan asas pelanggannya.
"Resipi sebenar untuk bencana adalah monopoli oleh Amerika Syarikat. Memiliki pesaing seperti Huawei akan membantu semak dan imbang," tulis Syed Saddiq.
Perdana menteri ketika berucap Persidangan
Antarabangsa Nikkei ke-25 mengenai masa depan Asia di Tokyo pada 3 Jun
lalu berkata Malaysia tidak akan menutup pintu perkembangan teknologi
daripada Huawei.
Perdana menteri berkata Amerika Syarikat mesti menerima
kenyataan bahawa keupayaan penyelidikan dan pembangunan teknologi yang
hebat juga boleh dijumpai di Timur.
Huawei menjadi peneraju pembangun teknologi komunikasi 5G yang secara teorinya memiliki kepantasan memuat turun 125mb per saat.
Bagi
Syed Saddiq, pendirian Malaysia berkenaan Huawei ini merupakan suatu
yang berprinsip dan tidak boleh dikelirukan sebagai tunduk terhadap
kuasa besar dunia.
Menurut Syed Saddiq, selain itu Mahathir juga telah melakukan usaha untuk menjadikan Laut China Selatan bukan zon ketenteraan serta memastikan sisa plastik yang dieksport ke Malaysia dipulangkan ke negara asalnya
"Mesej itu jelas, Malaysia tidak akan tunduk kepada pembuli dari dunia bebas," tulis Syed Saddiq.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan