HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Jun 2019

Syok beraya bersama 4 isteri, 14 anak

Ahmad Rabiul Zulkifli
 
 

“MEMANG seronok apabila dapat beraya bersama empat isteri serta 14 anak, saya anggap ia rezeki yang diberikan Allah SWT,” kata Mohd Fazil Mohd Dali, 44, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Fazil atau lebih mesra dengan panggilan Cik Fazil mempunyai empat isteri iaitu Harlinda Suparman, 44, Suhana Mokhtar, 40, Nur Izzati Mad Wazi, 33, dan Khairatul Azwa Khairul Anwar, 36 serta 14 anak berusia antara dua hingga 18 tahun hasil daripada enam perkahwinannya.

Uniknya keluarga besar Cik Fazil ini kerana mereka menyambut Hari Raya secara beramai-ramai setiap tahun tanpa sebarang masalah.

Katanya, menjadi kelaziman mereka berkumpul pada malam raya di rumah isteri pertama untuk membuat persiapan raya dan amalan akhir Ramadan yang diisi dengan keagamaan yang menjadi kunci kebahagiaan.

“Selepas bertakbir raya, kami akan berkumpul di ruang tamu dengan membaca kitab taalim fadhilat amal selama 90 minit sebelum mula membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan saling bermaaf-maafan,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Cik Fazil berkata, persiapan wajib seperti baju raya untuk semua isteri dan anaknya sudah dibuat bermula awal Ramadan bagi membolehkan ahli keluarganya memberi tumpuan kepada amalan 10 malam terakhir Ramadan.

“Ramai yang bertanya rahsia kebahagiaan saya dan jawapannya ialah bergantung kepada sejauh mana amalan dan tanggungjawab yang ditunaikan sebagai seorang ketua keluarga iaitu bapa.

“Saya menyatukan semua isteri dan anak bukan melalui kekerasan atau paksaan tetapi secara berhemah dan kasih sayang selain mengerjakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan laranganNya.

“Selain solat berjemaah serta membabitkan semua isteri dan anak dengan majlis ilmu agama di masjid, amalan makan di dalam talam dan saling suap menyuap juga antara rahsia pengikat kasih sayang di antara kami sekeluarga,” katanya.


MOHD Fazil bersama empat anaknya yang dihantar belajar 
tahfiz. FOTO Ihsan keluarga Mohd Fazil
 
Cik Fazil berkata, setiap tahun dia dan keluarganya akan beraya di rumah mentua secara bergilir-gilir iaitu di Perak, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Walaupun kami beraya bersama tetapi saya tidak mewajibkan isteri atau anak berpakaian sedondon dan mereka bebas memilih warna mengikut cita rasa masing-masing.

“Biasanya, kami akan berkonvoi ke masjid untuk menunaikan solat hari raya sebelum berkunjung ke rumah saudara terdekat terlebih dahulu selepas bersarapan,” katanya.

Sementara itu, Harlinda berkata, dia seronok apabila beraya bersama tiga madu dan semua anak serentak malah saling membantu dalam segala urusan berkaitan hal keluarga.

“Setiap anak dilayan sama rata dan isteri juga tidak mempunyai perasaan iri hati sesama sendiri kerana apa yang diutamakan ialah muafakat, kerjasama, saling menghormati dan perasaan ingin membahagiakan antara satu sama lain.

“Kami bertuah kerana dianugerahkan seorang suami yang rajin berusaha mencari rezeki untuk keselesaan keluarga terutama anak tetapi pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab untuk mencurah kasih sayang kepada kami,” katanya.

Tiada ulasan: