HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Jun 2019

Tak perlu sokong petisyen isu jawatan Latheefa, kata Pemuda PKR

DENYUT REFORMASI

 
 
PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) tidak wajar menyokong petisyen membantah pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua agensi anti rasuah, kata Timbalan Ketua Pemuda PKR Hilman Idham.

Beliau yang menyokong pelantikan tersebut berkata, segala bantahan masih boleh dibuat mengikut saluran parti.

“Soal petisyan itu tak wajar kerana apa juga pandangan di kalangan pimpinan Pakatan Harapan boleh dibawa dalam Majlis Presiden.

“Saya yakin (Dr Mahathir Mohamad) terbuka untuk mendengar. Ada saluran dan tak perlu petisyen,” katanya lagi dalam satu kenyataan.

Hilman mengulas petisyen dalam talian yang mengutip lebih 1,000 tandatangan setakat ini.

Katanya lagi, beliau berpendapat Latheefa sesuai dilantik ke jawatan tersebut dan menyifatkan peguam itu sebagai individu yang “tegas, berintegriti dan sangat berpegang teguh kepada prinsip”.

“Saya yakin, tekad dan iltizam beliau adalah sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan dan pastinya akan membantu Kerajaan untuk melaksana reformasi institusi,” katanya lagi.

Pelantikan tersebut dibuat mengikut kebijaksanaan perdana menteri yang menurutnya tidak salah dari segi undang-undang dan bukan satu lantikan politik.

“Saya yakin pelantikan Latheefa oleh perdana menteri bukan atas kapasiti lantikan politik tetapi kerana ketegasan dan kewibawaan (Latheefa). Beliau juga telah tinggalkan PKR. Jadi tiada isu.

“Kadang kala perlu ada kejutan. Tak semua perkara perlu dibincang. Selama ini pun tak semua hal dibincang kerana kita percaya pada kebijaksanaan pimpinan,” katanya.

Latheefa pada Selasa lalu diumumkan sebagai pengganti Mohd Shukri Abdull, yang bersara lebih awal daripada tarikh tamat kontrak 17 Mei 2020.

Pengumuman itu mengejutkan ramai pihak termasuk dari kalangan pemimpin PH yang menyatakan pandangan berbelah bahagi ke atas pelantikan itu.

Latheefa menerima pujian atas keberanian dan khidmatnya dalam menangani kes hak asasi manusia tetapi pelantikan itu dikritik kerana melangkaui jawatankuasa terpilih parlimen bagi pelantikan utama dalam jawatan kerajaan.

Jawatankuasa itu dibentuk oleh kerajaan PH bagi memenuhi janji dalam manifesto parti itu untuk memberi lebih banyak ketelusan dalam pelantikan jawatan utama kerajaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu wartawan pada Rabu, beliau memutuskan untuk melantik Latheefa mengetuai SPRM.

Perdana menteri berhak berbuat demikian dan juga untuk mengemukakan calon berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan Latheefa menerima kritikan kerana beliau merupakan anggota PKR dan merupakan anggota jawatankuasa pusat serta ketua biro undang-undang.

Latheefa berkata beliau meletak jawatan daripada parti selepas diberitahu mengenai pelantikannya ke jawatan ketua pesuruhjaya SPRM. 
 
 

Tiada ulasan: