HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Julai 2019

RTM bersedia penuh ke siaran digital

MALAYSIAKINI

   

RTM bersedia beralih daripada penyiaran secara analog kepada siaran televisyen (TV) digital.

Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii, berkata siaran percubaan yang menggunakan dua saluran digital iaitu saluran Berita Ehwal Semasa (BES) yang memaparkan berita 24 jam dan saluran RTM Sports berdefinisi tinggi (HD) sangat memuaskan.

"Percubaan ini berjaya dan memenuhi tahap yang diperlukan," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Karnival Futsal Piala Pengarah Penyiaran Perlis 2019 di Kangar semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, sebelum ini berkata proses peralihan daripada analog ke digital dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.

Abdul Muis berkata proses peralihan untuk menamatkan siaran analog berjalan lancar namun beliau tidak menyatakan tarikh sebenar bila siaran digital itu akan beroperasi sepenuhnya.

Sementara itu, karnival bersempena ulang tahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-76 turut dihadiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang.

Pengarah Penyiaran Perlis, Ahmad Zaki Mustafa, berkata karnival futsal yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM7,000 itu disertai 71 pasukan dari dalam dan luar Perlis, mempertandingkan tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki, Bawah 17 Tahun Lelaki dan Bawah 12 Tahun Lelaki.

Pasukan The Fighters A menjuarai kategori Bawah 12 Tahun untuk membawa pulang hadiah berjumlah RM800 manakala kategori Bawah 17 Tahun dimenangi pasukan Ally B yang menerima RM1,000 dan kategori Terbuka dimenangi pasukan MFC yang meraih hadiah RM2,000.- Bernama


Tiada ulasan: