Beliau berkata, semua agensi keselamatan sentiasa memantau kemasukan elemen asing ke Malaysia, terutamanya melalui sempadan bersama kedua-dua negara.
“Agensi keselamatan kedua-dua negara, terutamanya yang bertugas di sempadan darat sentiasa berhubung dan bertukar maklumat operasi dan perisikan secara berkala melalui platform Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thailand.
“Sehubungan itu, tuduhan bahawa Malaysia memberi perlindungan kepada penjenayah (Thailand) yang melarikan diri ke Malaysia adalah tidak berasas dan tidak tepat,” katanya di sini, baru-baru ini.
Mohamad berkata Malaysia sentiasa bekerjasama dengan Thailand untuk menjejaki penjenayah yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu.
Berikutan serangan di Yala pada 5 Nov lepas, ada pihak mendakwa penjenayah yang terlibat dalam serangan itu melarikan diri ke Malaysia.
Dalam serangan itu, sekumpulan individu bersenjata menyerang pos kawalan keselamatan di Yala, selatan Thailand dan membunuh 15 orang, termasuk sukarelawan pertahanan kampung, anggota polis serta mencederakan lima yang lain.
Mohamad berkata, sebagai fasilitator rundingan damai di selatan Thailand, Malaysia akan terus membantu kerajaan Thailand untuk mengadakan rundingan rasmi.
Beliau berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya Prayuth Chan o-cha awal bulan ini memberi komitmen untuk membantu Thailand mencari satu jalan penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan di selatan negara itu melalui satu perjanjian damai.
“Rundingan rasmi dijadual diadakan semula pada awal bulan depan,” katanya.
Rundingan damai itu digantung sejak Februari lepas berikutan kekecewaan Majlis Syura Patani (Mara Patani) terhadap sikap yang ditunjukkan oleh ketua panel rundingan damai Thailand, Udomchai Thammasarorath, yang enggan bertemu panel rundingan Mara Patani di Kuala Lumpur.
Dengan barisan Kabinet baru, Thailand melantik Wanlop Rugsanaoh sebagai ketua perunding baru proses damai selatan itu berkuat kuasa 1 Okt lepas.
Bekas setiausaha agung Majlis Keselamatan Negara Thailand itu menggantikan tempat Udomchai yang dilantik sebagai senator.
Malaysia memilih bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator dalam rundingan damai di selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan Mara Patani, badan yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand.
Sejak beberapa tahun lepas, Mara Patani mengadakan rundingan damai dengan kerajaan Thailand untuk mencari penyelesaian kepada konflik yang berlanjutan sejak 2004.
Konflik di empat wilayah di selatan Thailand – Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla yang meletus pada 2004, sudah mengorbankan lebih 7,000 nyawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan