HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 November 2019

Peruntukan RM6.5 bilion bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan – Dr Mahathir

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM6.45 billion bagi program ‘Malaysia At Work’ untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini sepanjang tempoh lima tahun akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata program itu mempunyai banyak kesan berganda jangka panjang yang akan melangkaui tempoh lima tahun itu.

“Ia mewujudkan pekerjaan, ia menjana peluang pembelajaran, ia mewujudkan perhubungan yang memerlukan kerjasama,” katanya dalam ucaptama persidangan Kesejahteraan Sosial 2019 dan melancarkan Malaysia @Work di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata semua orang ada peranan yang perlu dimainkan bagi mengatasi cabaran yang berlaku akibat pengangguran kerana ia akan meracuni dan memberi kesan kepada semua peringkat masyarakat sekiranya tidak ditangani.

“Apabila sebahagian besar remaja kita menganggur, kita kehilangan sumbangan mereka yang berpotensi kepada negara, membazirkan pelaburan yang kita buat dalam pendidikan mereka dan boleh membenihkan ketidakpuasan dan ketidakstabilan.

“Masalah Malaysia perlu penyelesaian dengan cara dan pasukan Malaysia. #MalaysiaKerja, atau Malaysia@Work, adalah jawapan Malaysia bagi menyelesaikan cabaran pekerjaan dalam pasaran,” katanya.

Program itu, katanya, disasarkan kepada segmen khusus tenaga kerja terutamanya pemuda melalui Graduates @ Work dan Apprentice @ Work; Women@Work dan Locals @Work.

Beliau berkata menerusi insentif pengambilan pekerja untuk majikan, kerajaan mahu menghubungkan bakat yang tersedia dan sanggup untuk bekerja dengan bermaruah kerana negara menyediakan tenaga kerja untuk masa depan.

Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) telah membuka begitu banyak peluang dalam sektor teknikal dan vokasional untuk menggalakkan belia menjadi mahir dalam bidang TVET melalui program Apprentice @ Work.—Bernama 

Tiada ulasan: