HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Disember 2019

Komunis: Jangan sebab kuasa politik, sanggup gadai negara

Oleh: Ainul Illia Meor Suzuruddin

 

Sangat bahaya bila penggerak mungkin sudah ada dalam kerajaan



 BANGI – Kerajaan tidak perlu bersikap apologetik atau berkompromi dalam isu komunis walaupun mempunyai hubungan ekonomi dengan negara China. 



Ini kerana, ia membabitkan soal kedaulatan negara yang terancam dan sememangnya bukan sesuatu perkara kecil, tegas Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.



“Ini bukan kali pertama tetapi sudah banyak kali isu komunis tercetus sejak akhir-akhir ini,” katanya dalam satu kenyataan. 



Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kepulangan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia tidak seharusnya dijadikan isu besar.



Anwar berkata, Kerajaan Malaysia sudah pun berdamai dengan PKM menerusi Perjanjian Damai Hatyai pada 1989.



Menyifatkan alasan Anwar sebagai tidak munasabah, Haji Aminuddin tetap mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap penganjur yang membawa pulang abu mayat pengganas itu.



“Kenapa kita sensitif dengan ISIS tapi tak sensitif dengan Parti Komunis Malaya (PKM)? Kedua-duanya  sangat berbahaya.



“Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya mendesak pihak yang terlibat untuk memberhentikan aktiviti-aktiviti yang mempromosi gerakan komunis di negara kita, bukannya melindungi dan memperkecilkan isu ini seolah-olah tiada apa-apa bahaya. 



“Jangan kerana mahukan kuasa politik, kita gadaikan negara dan rakyat. Sikap sebegini adalah sangat tidak bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Lebih membimbangkan, katanya, apabila simpatisan (mungkin penggerak) mereka sudah menjadi kerajaan dan memegang posisi pembuat polisi kerajaan, bukan duduk di luar seperti dahulu lagi.


Tiada ulasan: