HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Disember 2019

Pejuang komunis berani ‘orang’ mereka ada dalam Parlimen

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Jangan biarkan keturunan komunis kuasai pemerintahan negara


BANGI– Isu atau insiden membabitkan pengganas komunis sejak akhir-akhir ini tidak berlaku secara kebetulan, berkemungkinan telah dirancang, kata Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Zainur Rashid Zainuddin.

Beliau percaya, isu penghinaan Jalur Gemilang seperti kes bendera terbalik, bendera jalur hitam, bendera lima bintang, semuanya usaha untuk mendesak agar komunis diiktiraf di negara ini.

Malah, isu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan perjumpaan bekas ahli PKM di Kajang Ahad lalu juga bukan sesuatu yang tidak disengajakan.

“Keberadaan pendukung agenda komunis di Parlimen terutamanya di posisi kerajaan pemerintah menyebabkan mereka semakin berani untuk bertindak biadab.

“Andainya pemimpin politik masih boleh disuap, atau parti politik tertentu boleh ditaja oleh taikun pencinta komunis, maka usaha untuk mengekang komunis akan jadi retorik dan sia-sia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Prof Zainur Rashid berkata, mereka sepatutnya menerima hakikat bahawa komunis bukan pejuang kemerdekaan seperti digembar-gemburkan mereka.

“Komunis adalah pengganas atau militan yang mendukung agenda asing untuk menguasai negara tercinta.

“Mereka terbabit dalam pembunuhan Ketua Polis Negara, pasukan keselamatan dan ribuan orang awam,” katanya.

Bimbang dengan isu komunis yang semakin mencengkam, beliau meminta agar Ahli Parlimen Melayu muslim untuk menjalin kesepakatan bagi mengekang dominasi pencinta perjuangan komunis di Parlimen.

“Rakyat majoriti mohon supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak segera dan tegas sebelum keadaan menjadi lebih parah.

“Selamatkan Malaysia dari komunis. Usah biarkan keturunan komunis ini kuasai pemerintahan negara,” katanya.


Tiada ulasan: