HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Disember 2019

Pemilik tanah Kg Baru boleh nyata pandangan, bantahan sehingga tahun depan, kata Rina



KUALA LUMPUR: Pemilik tanah Kampung Baru ada peluang sehingga tahun hadapan untuk menyatakan bantahan dan cadangan kepada kerajaan berhubung rancangan pembangunan kawasan itu, kata Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun ketika ditanya mengenai cadangan menggunakan Akta Pengambilan Tanah bagi mengambil tanah kampung itu.

Beliau berkata pelaksanaan rancangan pembangunan Kampung Baru itu, yang terletak dalam kawasannya, itu tidak akan dibuat serta-merta.

“Kita akan buat lagi sesi ‘townhall’ tentang tawaran baru berjumlah RM1,000, kita buka kepada mereka berikan pandangan sehingga tahun hadapan. Bagi saya masih ada ruang lagi sekarang,” katanya pada sidang media di program pendidikan Mara di PPR Laksamana Jalan Peel hari ini.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata kerajaan tiada sebab untuk menggunakan akta itu bagi mengambil tanah Kampung Baru jika semua pemilik tanah memahami dan bersetuju dengan rancangan pembangunan kerajaan.

Kerajaan pada Okt menawarkan RM1,000 sekaki persegi, dengan RM850 dibayar dalam bentuk pulangan pilihan pemilik, manakala baki RM150 dalam bentuk pegangan saham syarikat tujuan khas (SPV).

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun mengingatkan kerajaan hanya boleh mengambil tanah di Kampung Baru untuk tujuan pembinaan projek pembangunan awam, bukan untuk tujuan komersil.

Sementara itu, Rina berkata rata-rata pemilik tanah bersetuju dengan rancangan pembangunan Kampung Baru, tetapi kontroversi berpanjangan kerana pemilik tanah sebenarnya takut tertipu.

“Apabila saya hadiri sesi townhall, mereka risau takut ditipu, sebab sudah lama sangat (janji pembangunan) tapi tak jadi-jadi,” katanya.

Tiada ulasan: