Membalas kritikan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution sekali lagi mempersoal di mana parti itu ketika PH bersama-sama Dr Mahathir Mohamad melawan "kerajaan kleptokrat" pada PRU ke-14.
Justeru, kata Saifuddin, amat melucukan apabila PAS kini cuba menunjukkan parti itu lebih menyokong Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri, berbanding parti dalam PH.
"Di mana Takiyuddin dan PAS ketika PH berusaha bersama Tun (Dr Mahathir) untuk menumpaskan kerajaan kleptokrat?
"Hari ini bila PAS merasakan mereka lebih ikhlas menyokong Tun dari parti-parti dalam PH, itu tentunya lebih melucukan," katanya dalam kenyataan ringkas kepada Malaysiakini.
Iklan
Semalam, Takiyuddin berkata kenyataan Saifuddin yang mempersoalkan sokongan PAS terhadap perdana menteri adalah gambaran kurang ajar terhadap Mahathir yang melantiknya sebagai anggota kabinet.
"Kenyataan sinis beliau yang juga seorang menteri kabinet terhadap Mahathir, iaitu perdana menteri, adalah gambaran suatu perbuatan 'kurang ajar' seorang yang dilantik terhadap orang yang dilantiknya.
"PAS yang mempunyai 18 anggota parlimen berhak membuat pendirian menyokong Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal dan dalam masa sama menolak sebarang usaha dan cita-cita individu tertentu yang berhasrat menjadi perdana menteri kelapan dalam penggal ini," katanya Takiyuddin.
Walaupun tidak menyebut secara khusus, namun beliau dipercayai merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Ia ekoran sindiran Saifuddin bahawa PAS hanya menyokong Dr Mahathir selepas "pemimpin kleptokrat kesayangannya" - merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak - kalah dalam PRU ke-14.
Pertelingkahan antara mereka berkaitan dengan soal peralihan kuasa antara Mahathir dengan Anwar.
Beberapa pihak dalam PKR mahu ia dilakukan dalam penggal ini manakala PAS melalui presidennya Abdul Hadi Awang berpendirian Mahathir perlu kekal memegang jawatan itu sehingga habis penggal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan