ULASAN | Bahasa Covid-19 adalah bahasa dunia masa kini. Bahasa pandemik. Bahasa yang merentasi benua.
Sekarang benar-benar bahasa Covid-19 berada di depan pintu rumah masing-masing. Ia tidak mengira penghuni rumah itu bangsa DAP atau bangsa lain, agama Islam atau bukan Islam. Ini benar-benar bahasa yang menuntut nyawa.
Tiada siapa yang dapat menyangkal. Orang China berbahasa Mandarin setuju. Orang Israel berbahasa Ibrani, akur. Orang Itali yang tidak bertutur bahasa Inggeris mengakui. Orang Nusantara macam Malaysia sedang tekun memahami bahasa Covid-19.
Ia tidak pernah dituturkan berlaku sebelum ini. Bahasa ini perlu difahami oleh semua orang.
Memburukkan keadaan, berlaku pertembungan autoriti di antara pakar bahasa Covid-19 terlatih dari Cambridge University dengan pakar-pakar bahasa Covid-19 yang naik junjung selepas dapat kuasa.
Ketika artikel ini ditulis, Malaysia merupakan negara keempat dalam penguasaan bahasa Covid-19 di peringkat Asia.
Penggusti berhenti sejenak
Sudah lebih 1,183 kes positif setakat ini dan empat orang sudah meninggal dunia manakala 87 telah dibenarkan pulang ke rumah. Angka ini akan sentiasa berubah-ubah mengikut perkembangan bahasa Covid-19 melebarkan wataknya.
Sudah masuk hari kelima, saya dan juga rakyat Malaysia berkurung dalam rumah. Bukan lagi ‘social distancing’ tetapi sememangnya langsung tidak bersosial saja, kecuali hubungan di antara suami isteri sahaja.
Menjadi suatu keperluan yang amat kepada rakyat mengetahui bahasa Covid-19. Bahasa Covid-19 datang semacam tepat pada waktunya. Ia berlaku di tengah-tengah keributan ahli politik berpencak silat merebut takhta kuasa di Shareton.
Segala makhluk politik dari seantero dunia turun malam itu. Bersatu merebut kuasa. Sedang yang berkuasa bertungkus-lumus mempelajari bahasa Covid-19 tanpa henti.
Acara di gelanggang sedang berlangsung, tiba-tiba bahasa Covid-19 masuk ke tengah-tengah podium. Langsung seakan-akan terhenti seketika para penggusti kuasa bertelingkah.
"Stay at home. Stay at home. Stay at home." Muhyiddin lebih lancar merayu dalam bahasa Inggeris.
Berulang kali ia disebut dengan fasih. Itulah bahasa Covid-19. Pengumuman pihak polis
menggunakan pembesar suara kepada orang awam yang sedang beriadah tidak dihiraukan.
Orang awam seakan tidak memahami bahasa yang digunakan oleh pihak polis. Itulah bahasa kebangsaan. Bahasa Covid-19 adalah bahasa Inggeris, barangkali.
Oleh itu, langkah awal kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin adalah memastikan sebarang gerakan rakyat dapat dikawal. Covid-19 ialah kesempatan terbaik memastikan ketidaktentuan gerakan politik tanah air akibat pertelingkahan politik dapat dihentikan.
Tak ada lagi kesesakan
Kerajaan tidak membenarkan sebarang perhimpunan besar hatta kenduri kahwin pun terpaksa dibatalkan demi membendung wabak ini melebar. Mesyuarat pertubuhan dan parti politik juga dihentikan.
Orang sedang memancing diarah pulang. Mereka tidak tahu, barangkali itulah lauk buat anak isteri.
Bahasa Covid-19 tidak kenal kasihan dan pertimbangan.
Sekatan jalan raya oleh pihak polis juga dikatakan tidak dapat menghalang orang ramai yang tidak reti duduk diam. Akhirnya kerajaan memutuskan untuk mendapatkan bantuan Kementerian Pertahanan bagi membantu penguatkuasaan dalam pelaksanaan pendekatan ‘social distancing’.
Bahasa Covid-19 menurunkan harga petrol sehingga RM1.50 seliter. Bursa saham menjunam dan Bursa Malaysia kehilangan berbilion-bilion ringgit dalam seminggu ini.
Semua kaum ibu dan isteri memasak di rumah untuk ahli keluarganya. Semua anak-anak memakan air basuhan tangan ibu. Suami membantu isteri - daripada mengemas rumah hingga memasak lauk-pauk. Inilah cerminan keluarga bahagia.
Kilang Carlsberg dan Anchor tutup operasi. Kedai nombor ekor, kasino Genting Highlands tutup. Satu pencapaian yang luar biasa kerajaan di bawah Muhyiddin.
Bil elektrik mulai April akan menerima diskaun sehingga enam bulan. Bayaran PPPTN juga ditangguhkan bagi mengurangkan beban peminjamnya. Tidak cukup dengan itu, beberapa kerajaan negeri memberi beberapa bantuan dan sumbangan bagi mengurangkan bebanan.
Terdapat juga Adun yang kelihatan ceria mengedar ikan kembong kepada asnaf zakat, mengedar penutup hidung, menghantar bekalan makanan dan sebagainya walaupun sebelum itu dia menitiskan air mata.
Semua langkah tersebut memang patut dipuji. Media mereka sendiri giat mengulang tayang keprihatinan mereka. Laksana hero turun dari langit ke tujuh.
Kerja tanpa publisiti
Bukankah ini semua berlaku di bawah pemerintah Muhyiddin? Apa lagi yang kamu mahu?
Ironinya, masjid-masjid juga ditutup. Madrasah tiada kelas agama. Tiada solat Jumaat walaupun DAP sudah tersungkur. Sekolah-sekolah cuti. Pejabat dan kedai-kedai tutup. Hospital dan klinik menangguhkan pembedahan yang tidak kritikal. Peniaga gerai dan warung tepi jalan kehilangan pekerjaan. Pekerja-pekerja kilang terpaksa berkurung dalam asrama.
Majikan menanggung kerugian yang tidak sempat dihitung.
Para petugas kesihatan sama ada di hospital, klinik atau jabatan lain bertungkus lumus menguasai bahasa Covid-19. Bertarung antara hidup dan mati.
Bahasa Covid-19 sungguh luar biasa. Bahasa Covid-19 adalah alat kuasa yang berfungsi pelbagai.
Oleh kerana itu, Muhyiddin mempunyai masa untuk bermain golf bersama taikun yang menderma untuk tabung bahasa Covid-19. Ia harus dimaafkan.
Namun di sebalik itu, Muhyiddin menamatkan khidmat setiausaha agung partinya tanpa berunding dengan pengerusi parti dia sendiri. Adakah ia harus dimaafkan juga?
Di sebalik itu, usaha memancing pimpinan Pakatan Harapan (PH) masih berterusan. Muhyiddin menggunakan jentera kerajaan untuk mematikan sebarang elemen kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati peralihan kuasa.
Maafkan sahaja?
*DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, dan penulis buku serta esei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan