HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Mac 2020

Menteri boleh buat sidang media atas talian – Wan Azizah

Wartawan MalaysiaGazette

MGF27022020_KEDIAMAN-ANWAR-IBRAHIM_03
Bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika keluar dari kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan agar menteri Kabinet membuat rakaman sidang media dan mereka menyalurkannya kepada organisasi-organisasi berita bagi disiarkan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pelbagai aplikasi kini boleh digunakan bagi membolehkan wartawan-wartawan bertanya soalan-soalan dalam sidang akhbar atas talian itu.

Jelas Ahli Parlimen Pandan itu, video-video itu boleh juga dipaparkan di akaun media sosial kementerian atau menteri berkenaan selain kenyataan akhbar turut boleh dihantar kepada organisasi-organisasi berita.

“Covid-19 telah memberi kesan kepada kita semua dan kami benar-benar menghargai petugas-petugas barisan hadapan tanpa mengenal siang dan malam bagi memulihkan mereka yang dijangkiti dan memastikan kita semua selamat.

“Kita perlu memastikan supaya petugas-petugas barisan hadapan ini selamat dan ini termasuklah wartawan-wartawan kita yang tekun menyampaikan kepada kita berita-berita terbaharu yang antara lainnya diperolehi melalui sidang-sidang akhbar.

“Kami faham akan kemungkinan bekalan topeng muka dan sarung tangan yang tidak mencukupi pada waktu ini, bermakna kita perlu memikirkan cara-cara lain untuk memastikan wartawan-wartawan kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizah menambah, cadangan yang dikemukakan itu bagi membolehkan wartawan-wartawan dapat bertugas dari rumah tanpa perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dan dengan itu dapat mengurangkan risiko mereka terdedah kepada Covid-19.

“Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Sekarang kita berada dalam waktu krisis, oleh itu kita perlu mengambil berat antara satu sama lain.

“In-syaAllah kita akan dapat mengatasi krisis yang dihadapi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: