Menteri Kanan dan juga Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, rayuan juga dibuat kepada peserta tabligh dari luar negara yang dipercayai bersembunyi kerana tidak mempunyai dokumen sah supaya tampil membuat pemeriksaan kesihatan dan tiada tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.
“Begitu juga anggota tabligh yang bukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pendatang asing, mungkin mereka menyorok. Kita sudah bincang dengan ketua polis negara, walaupun tidak ada dokumen perjalanan yang sah, yang penting mereka perlu keluar periksa kesihatan. Tidak perlu takut.
“Kita tidak fokus kepada dokumen, tapi keutamaan kita sekarang kepada kesihatan untuk pastikan mereka bersih, selepas itu kita akan kuarantin itu sahaja.
Ismail berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, polis mengesan hampir 9,000 peserta tabligh, termasuk ahli keluarga dan akan menjejaki mereka dalam masa tedekat jika gagal tampil menyerah diri secara sukarela.
“Saya sekali lagi menyeru, termasuk ahli keluarga peserta tabligh supaya lakukan pemeriksaan kesihatan. Semua kena ingat kes kematian yang berlaku di Sarawak bukan peserta tabligh, tapi keluarga mereka.
“Ahli keluarga mempunyai risiko tinggi, polis sudah kenal pasti dan ada kemungkinan akan cari mereka di rumah dan sebagainya.
“Tujuan kita bukan nak tangkap, kita nak mereka serah diri periksa kesihatan demi nak jaga keselamatan negara dan keluarga mereka,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan setakat 19 Mac sekitar 10,500 peserta ijtimak sudah pun disaring daripada jumlah keseluruhan 16,000 seperti dilaporkan.
Sementara itu ahli mesyuarat Markaz Dakwah & Tabligh Malaysia Abdullah Cheong dalam satu kenyataan hari ini berkata, di sebalik angka 16,000 yang disebut banyak pihak, data rasmi Masjid Sri Petaling menunjukkan lebih kurang 12,500 orang, termasuk 1,600 tetamu luar negara menghadiri ijtimak tabligh di situ dari 28 Feb hingga 2 Mac.
Katanya, ia bermakna kehadiran peserta tempatan adalah sekitar 11,000 orang.
Berdasarkan rekod KKM setakat 19 Mac sekitar 10,500 peserta ijtimak sudah pun disaring, ini bermakna hanya sekitar 500 peserta tempatan yang belum disaring dalam usaha membendung penularan Covid-19, katanya.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa terdapat ribuan warga Rohingya yang menyertai ijtimak itu memandangkan rekod rasmi menunjukkan bilangan peserta Rohingya hanya sekitar 200 orang dan Myanmar pula 150 orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan