KUALA LUMPUR – Memasang kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista serta kurang sopan terhadap presiden, bukan budaya dan nilai UMNO, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tegas beliau, perbuatan itu juga bukan merupakan adab dan susila ahli sebagai orang Islam dan Melayu.
“Saya telah melihat kemunculan budaya yang tidak sihat dalam UMNO kebelakangan ini dalam cara kita mendesak pengunduran presiden parti.
“Ini bukan budaya dan nilai UMNO, malah ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu,” katanya yang dipetik kenyataan Facebooknya, hari ini.
Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin UMNO di peringkat bahagian yang mendesak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada secara terbuka mahupun dengan pemasangan kain rentang supaya melepaskan jawatan.
Mohamad yang lebih dikenali dengan Tok Mad berkata, jangan sesekali ahli terkurang hormat kepada institusi Presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya.
Katanya, mereka boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana UMNO itu nilainya demokratik, tetapi jangan sampai membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan parti.
Jelas beliau, pepatah Melayu berpesan: “Menurut biar berakal, menentang biar beradab”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan