HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Januari 2021

Kartun MB Kedah: Zunar pertahan kebebasan untuk bersuara

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Zulkiflee SM Anwar Haque atau pun lebih dikenali sebagai kartunis Zunar tidak asing lagi kerana kartunnya sering dikaitkan dengan tindakan undang-undang.

Kali ini, penerima anugerah "Cartooning for Peace" itu menggegarkan PAS apabila melakarkan kartun yang mengkritik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung tindakannya membatalkan cuti umum untuk perayaan Thaipusam.

Susulan itu, Pemuda PAS Kedah membuat laporan polis mengenai kartun berkenaan yang dimuat naik di Facebook dan menuduh kartunis tersebut memfitnah menteri besar.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid juga dilaporkan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun Facebook itu di bawah Akta Hasutan.

Dia mendakwa kartunis itu telah menyalahgunakan bakatnya dengan menyebarkan mesej yang salah kepada orang ramai.

"Pintu (kerajaan negeri) Kedah sentiasa terbuka untuk perbincangan. Tidak ada diskriminasi kaum atau agama di negeri ini,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Bercakap kepada Malaysiakini, Zunar menyifatkan tindakan itu sebagai usaha untuk menyekat kebebasan bersuara.

Kartunis itu berkata dia menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat tafsiran mereka sendiri terhadap hasil karyanya itu.

"Saya mengulas isu semasa. Kartun ini popular berdasarkan perkongsian. Saya serahkan kepada orang ramai bagaimana mereka melihatnya. Saya tidak mahu memberikan penjelasan.

“Anda berhak untuk setuju dan tidak setuju. Tetapi jangan membuat tafsiran mengatasi undang-undang. Jangan mengharapkan polis mengambil tindakan berdasarkan tafsiran anda. Ini tidak betul,” katanya.

Zunar menambah tindakan Pemuda PAS mendesak pihak berkuasa untuk bertindak terhadapnya di bawah Akta Hasutan sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Ini bertentangan dengan kebebasan saya untuk bersuara. Saya bimbang kerajaan ini akan menggunakan Akta Hasutan lagi seperti yang dilakukan oleh BN," katanya.

Dalam catatan yang sama, Zunar meminta Nurul Amin untuk membuktikan tuduhan bahawa dia melakukan fitnah terhadap menteri besar.

"Ini adalah tuduhan serius dan dia mesti membuktikannya," katanya.

Keputusan untuk membatalkan cuti umum untuk Thaipusam menerima kecaman pelbagai pihak termasuk dari sekutu PAS dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu, MIC.

Tiada ulasan: