HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Januari 2021

Penggantungan Parlimen tidak selesaikan 4 krisis – Guan Eng

MGF21122020_GUAN-ENG-MAHKAMAH08
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Daripada menggantung Parlimen, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya menyatukan rakyat untuk bersama-sama memerangi Covid-19.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan menggantung Parlimen tidak membantu negara menangani empat krisis –  krisis kesihatan awam, ekonomi, ketidakstabilan politik, pendidikan dan keadilan sosial.

Menurutnya, walaupun mencari keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan mata pencarian tidak mudah, kerajaan patut menggunakan segala sumber yang ada untuk membantu para pekerja barisan hadapan dengan tenaga kerja dan peralatan untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan.

Lantaran itu, Guan Eng menggesa pelaksanaan menyeluruh 3T – saringan, pengesanan dan rawatan semua kontak rapat pesakit positif Covid-19 harus dikembalikan.

Tambahnya, kegagalan untuk melaksanakan lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik, kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur, pengeluaran KWSP dan pembelajaran atas talian sehingga krisis Covid-19 tamat juga adalah kegagalan pengurusan krisis.

”Contohnya industri pelancongan yang bergantung kepada sokongan hidup telah kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu. Namun, tidak ada bantuan berterusan dari kerajaan untuk menolong mereka bertahan.

”Bagaimana dengan pelepasan sewa atau subsidi untuk perniagaan kecil yang tidak mempunyai pendapatan atau hasil sepanjang tempoh ini?,” soalnya.

Yang lebih membimbangkan, kata Ahli Parlimen Bagan itu adalah harga barang keperluan, terutama makanan dan minuman, juga meningkat bukan hanya bulan-ke-bulan.

Dakwanya, harga barangan naik sebanyak 0.5% pada bulan Disember 2020 berbanding dengan November 2020 tetapi juga tahun-ke-tahun sebanyak 1.4% pada tahun 2020 berbanding tahun 2019.

Dengan kata lain, rakyat Malaysia membayar lebih tinggi berbanding tahun lepas atau bulan lalu, menyebabkan penderitaan lebih besar kepada rakyat Malaysia yang menghadapi pengurangan pendapatan atau kehilangan pendapatan semasa kemelesetan ekonomi ini namun perlu membayar harga yang lebih tinggi.

Tambahnya, kerajaan masih dapat menyelamatkan nyawa dan mata pencarian jika mematuhi protokol kesihatan dan SOP, memfokuskan sumber kepada pekerja barisan hadapan, rakyat dan perniagaan kecil.

Namun penggantungan Parlimen akan menyekat usaha mengetengahkan masalah rakyat dan tidak membantu dalam mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah negara. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: