Setiausaha Politik kepada Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya menafikan dakwaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan mengambil alih parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
Abu Bakar berkata tiada sebab untuk Pejuang mengambil alih Kimma kerana Pejuang sudahpun mematuhi segala kehendak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi proses kelulusan.
"Itu orang boleh cakap, hanya spekulasi. Orang boleh cakap Pejuang nak ambil alih Umno mahupun Bersatu juga.
"Pejuang tunggu pendaftaran parti diluluskan, rasanya tiada sebab untuk pihak kerajaan tidak meluluskan Pejuang.
"Jika ada syarat yang tidak dipenuhi beritahu, Kita akan penuhi," katanya kepada Malaysiakini.
Abu Bakar berkata demikian ketika diminta mengulasi mengenai khabar angin yang Pejuang akan mengambil alih Kimma.
Ogos tahun lalu, presiden penaja parti itu, Mukhriz Mahathir mendaftarkan parti itu di pejabat ROS di Putrajaya.
Mukhriz ketika itu berkata pihaknya sudah bersedia dan turut menyediakan logo Pejuang berwarna biru ‘pantone’.
Katanya, logo berkenaan terdapat tiga titik yang membawa maksud Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin bekas perdana menteri Mahathir, untuk mendaftar parti itu sebagai sebuah parti politik.
Pada 7 Jan lalu, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Pejuang memaklumkan pihak ROS telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Penaja Pejuang Amiruddin Hamzah mengenai penolakan permohonan itu pada 6 Jan atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur.
Dalam pada itu, sumber yang rapat dengan Mahathir memaklumkan Pejuang sedang berunding untuk mengambil alih Kimma.
"Kiranya begitulah, masih dalam proses rundingan. Kimma yang menawarkan kepada Pejuang untuk mengambil alih parti mereka.
"Bagaimanapun masih diperingkat perbincangan dan kita berharap permohonan Pejuang diluluskan," katanya kepada Malaysiakini.
Selain Kimma, beberapa parti kecil turut menawarkan Pejuang untuk mengambil alih parti mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan