HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Januari 2021

Tampilkan kepimpinan baru, parti Melayu Islam perlu berubah

Ustaz Ir. Ts. Mohd Khoushaini Hj. Mohd Naim

PAS dilihat tersepit di tengah kancah politik UMNO, PPBM

1. MENGIKUT statistik, kita meramalkan pengundi muda bakal merubah landskap politik negara dengan penambahan pengundi baru 50 peratus. Jika PRU15 diadakan pada tahun 2023, dijangka seramai 22.7 juta pemilih akan layak mengundi melalui sistem Undi 18 dan pendaftaran automatik Malaysia berbanding 14.9 juta pemilih pada PRU14.

2. Ini kali pertama kita memberi ruang kepada pengundi bertaraf remaja untuk memilih pemimpin negara, tingkah laku pengundian dan corak sokongan mereka belum diketahui.

Parti yang berjaya menarik sokongan kumpulan pemilih yang akan mengundi kali pertama nanti akan memperolehi keuntungan besar, bahkan berpeluang memenangi kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri.

3. Justeru, parti-parti Melayu Islam perlu berubah dengan membawa pendekatan dan menampilkan kepimpinan baru untuk mendekati golongan sasar pengundi baru ini jika mereka ingin kekal relevan dengan perubahan demografi dan masa.

Di tambah pula dengan situasi hari ini, tiada satu parti yang kuat dan stabil boleh memerintah dengan sendiri tanpa gabungan parti lain bagi membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15.

4. UMNO perlu berubah, nampak krisis dan perpecahan dalaman yang semakin ketara kerana pemain-pemain veteran yang tidak mahu mewariskan kepimpinan kepada generasi baru kerana kepentingan tertentu.

UMNO bukan sekadar sudah tergelincir daripada landasan perjuangan asal Melayu dan Islam tetapi sudah tidak mampu memegang ahlinya dan menjadi tonggak kepada kestabilan negara. Saya menjangkakan UMNO akan menjadi tidak relevan sedikit masa lagi jika lebih ramai anak muda berhijrah ke PPBM.

5. PAS pula hilang punca setelah menjadi kerajaan, terpaksa tunduk dan menjadi pak turut sahaja, sudah tidak mampu mengangkat tinggi suara Melayu dan Islam seperti ketika mana dalam pembangkang dahulu.

PAS dilihat tersepit di tengah kancah politik UMNO dan PPBM malah ‘play safe’ dalam mengeluarkan sesuatu pandangan yang benar. PAS perlukan penjenamaan semula dan slogan baru yang lebih segar untuk kekal relevan.

6. Kita menjangkakan generasi baru sudah tidak lagi terikat kepada semangat kepartian, malah golongan ini lebih suka kepada calon muda yang dilihat hebat, berwibawa dan berprestasi tinggi.

Usaha untuk mendampingi anak-anak era milenia ini tidak mudah juga, mereka mempunyai corak komunikasi dan karakter yang berbeza berbanding generasi sebelumnya. Justeru, bagaimana parti-parti politik mengatur strategi dan medium kempen akan mempengaruhi sokongan mereka, ianya situasi yang sangat menarik untu k diperhati dan dianalisis.

(*)Ustaz Ir. Ts. Mohd Khoushaini Hj. Mohd Naim
Pemerhati politik -ISMA WEB

Tiada ulasan: