HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Julai 2021

Ada perkembangan baharu kes permohonan sita barang Najib, Rosmah


Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Susulan wujud perkembangan terbaharu berkaitan permohonan pendakwaan untuk melucut hak barangan berharga yang disita dari kediaman Datuk Seri Najib Razak, isteri dan 16 pihak lain, tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan kes berkenaan hingga 30 Ogos ini.

Penangguhan itu dibuat Hakim Mohamed Zaini Mazlan setelah pihak pendakwaan menerima surat daripada peguam yang mewakili semua responden terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memberitahu, perkembangan baharu itu saling berkaitan dan memberi kesan terhadap kes-kes lucut hak yang lain dan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti surat-surat berkenaan sebelum memaklumkan kepada mahkamah tindakan yang akan diambil selanjutnya.

Sementara itu, Faten Hadni ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, pihak pendakwaan sudah memfailkan hujahan bertulis pada 14 Julai lalu dan akan mengemukakan hujahan lisan pada 30 Ogos.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak barangan yang disita dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan 16 pihak lain.

Antara barangan yang disita oleh polis pada 17 Mei 2018 ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM537,000.

Turut disita ialah Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu).

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat jam tangan pelbagai jenama, empat beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama manakala 40 beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain.

Pihak pendakwaan menamakan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), Nor Ashman Razak Mohd. Najib dan Nooryana Najwa Mohd. Najib sebagai responden pertama hingga kelima.

Selain itu, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn. Bhd., Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn. Bhd., Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho), Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden-responden.

Tiada ulasan: