HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Julai 2021

ADUN Teratai enggan ulas video ‘terjun air’

MalaysiaGazette
IMG-20210720-WA0013
Video yang disebarkan melalui Facebook menunjukkan sekumpulan lelaki seakan-akan berkelah dan melakukan aksi terjun air di sungai.

PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Selangor, Lai Wai Chong, tidak mahu mengulas buat sementara waktu berhubung satu video yang dikatakan merakamkan detik “YB DAP” berkelah di hutan.

Wai Chong berkata, beliau tidak mahu mengambil peduli akan tindakan warganet yang bukan-bukan, tetapi akan terus menumpu perhatian kepada usaha menghantar bantuan.

Dalam satu video berdurasi 55 minit yang dikongsikan melalui Facebook, beberapa lelaki kelihatan sedang bermain air dan “terjun air” di sungai.

Video itu turut menunjukkan terdapat beberapa khemah di tebing sungai.

Ketika ditanya Sinchew Daily mengenai video itu, Wai Chong berkata, beliau tidak mahu mengulas kerana belum menerima apa-apa maklumat.

Walau bagaimanapun, ADUN DAP itu menjelaskan, tujuan utama beliau pergi ke Pahang adalah untuk menghantar bantuan kepada Orang Asli, tetapi mereka terpaksa bermalam kerana berlaku tayar pancit dalam perjalanan.

“Saya berharap orang ramai fokus kepada niat dan tujuan saya untuk membantu Orang Asli.

“Buat mereka yang berniat memburuk-burukkan saya, mereka diminta berusaha lebih keras (untuk membantu orang) bukannya menggunakan benda negatif untuk menghentam kami,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan menahan Wai Chong bersama 29 individu lain kerana dipercayai memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis.

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd. Hizamri Mohd. Yasin dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, kesemua mereka yang berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor itu akan disiasat di bawah Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara 1984. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: