HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Julai 2021

Tak mampu tunai titah Agong, YDP Dewan Rakyat kena letak jawatan – PH

Wartawan MalaysiaGazette

221529033_10161735339641840_490177233275590267_n

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu memutuskan sama ada beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong atau sekadar mengikut arahan Kabinet.

Jika tidak mampu, Datuk Azhar Azizan dipelawa untuk meletakkan jawatan, tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis Presiden PH dianggotai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selain digesa menjunjung titah Agong, Azhar juga diminta tidak meletakkan had 80 orang dan membenarkan semua ahli Parlimen hadir di dalam Dewan Rakyat pada bila-bila masa mesyuarat berjalan.

Beliau juga diminta membenarkan perbahasan penuh berasaskan usul menteri untuk semua isu-isu yang telah dinyatakan dalam titah Agong termasuk Pelan Pemulihan Negara, Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah Covid-19 serta usaha memulihkan ekonomi serta menjamin kelangsungan hidup rakyat.

“Kami tidak boleh terima sidang Parlimen yang dipanggil hanya untuk mendengar ceramah atau kuliah Menteri tanpa perbahasan penuh,” kata kenyataan yang sama.

Terdahulu, Majlis Presiden PH juga menyatakan rasa terkejut membaca kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang mendakwa pihaknya cuba melagakan beliau dengan Istana Negara.

“Ini bukanlah satu kenyataan yang patut dikeluarkan seorang Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan menggunakan bahasa yang tidak mengikut peraturan Parlimen.

“Isu pokok di sini ialah keputusan-keputusan Kerajaan Perikatan Nasional berkenaan perjalanan sidang khas Parlimen tidak mencapai maksud penuh titah pandangan yang dizahir KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah,” kata mereka.

Sidang khas, dakwanya, tiada perbahasan ke atas sebarang usul hanya setakat mendengar kuliah menteri, dengan kehadiran jumlah ahli Dewan Rakyat yang tidak lengkap dan tanpa sebarang undian terutama berkait Proklamasi Darurat.

“Maka jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat tetap melaksanakan keputusan-keputusan Kerajaan itu, pada ketika beliau menyedari ianya tidak mencapai maksud sebenar Duli-Duli Tuanku, maka Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah turut sama mengingkari titah tersebut,” katanya.

Justeru, PH menegaskan titah pandangan Seri Paduka Baginda mesti dijunjung oleh kerajaan dan juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak perlu bimbang kerana Pakatan Harapan tidak memasukkan sebarang usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri.

“Kami hanya mahu menumpukan perhatian sidang khas ini kepada perkara-perkara penting pandemik Covid-19 dan kesusahan rakyat dalam krisis ekonomi masakini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: