Fareez Azman

Penglibatan
golongan muda diharap sedikit sebanyak dapat memberi tekanan kepada
cara pemikiran politik lama untuk menerima pandangan golongan itu. -
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Anak muda perlu terus diberikan peluang dalam arena politik tanah air dalam memacu demokrasi yang lebih segar.
Menurut
Pegawai Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi
Rashid, generasi muda juga mempunyai idea dan pandangan yang bernas
terutama dalam menyumbang kepada menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN)
pasca pandemik nanti.
"Saya
agak terkilan ramai rakan-rakan saya orang muda apabila Undi18 masih
ditangguhkan tiada hala tuju yang jelas untuk direalisasikan.
"Banyak
perkara kita perlu tambahkan lagi, memastikan anak muda memahami,
merasai apa erti nilai demokrasi yang mereka perlu bawa dalam
memperjuangkan hak mereka. Nasib mereka saat ini agak getir.
"Anak
muda digelar 'lost generation', Malaysia perlu beri ruang lebih banyak
kepada anak muda beri idea dan pandangan kepada negara memastikan PPN
bergerak seiiring pasca pandemik," jelasnya kepada Astro AWANI.
Tambah
Fakhrurrazi lagi, meskipun masih wujud pandangan skeptikal dalam
sesetengah parti politik untuk memberi laluan terhadap anak muda,
golongan itu dilihat tampil secara sukarela membantu masyarakat.
"Pertama,
anak muda perlu melihat apakah mereka boleh lakukan kepada negara, saya
agak kagum anak muda apabila mereka jadi barisan hadapan, mereka orang
pertama ada program bantuan masyarakat.
"Semangat
kesukarelawan agak tinggi walaupun mereka luahkan pandangan di laman
sosial, mereka turun padang dan membantu masyarakat.
"Semangat
ini faktor utama mengapa anak muda terlibat dalam politik agar semangat
itu diterjemahkan dalam membuat dasar sekali gus memberikan impak
kepada komuniti di peringkat daerah, negeri mahupun nasional," katanya
lagi.
Justeru sempena Sambutan Hari
Parlimen Sedunia yang disambut pada 30 Jun setiap tahun, beliau berharap
agar lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang politik.
Ia diharap sedikit sebanyak dapat memberi tekanan kepada cara pemikiran politik lama untuk menerima pandangan golongan itu.
"Anak
muda tidak boleh asingkan diri mereka daripada politik untuk memastikan
politik berjalan lancar, kita perlukan lebih ramai dalam politik bukan
di luar Parlimen.
"Sebab mereka akan
berikan tekanan kepada politik lama supaya keluar menghasilkan tawaran
politik yang lebih baik," katanya lagi.
Sehingga kini, penglibatan golongan itu dalam politik kira-kira hanya 12 peratus berbanding golongan berusia 40 tahun ke atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan