HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Julai 2021

Kerajaan mungkin terpaksa longgarkan PKP – Najib

Wartawan MalaysiaGazette
MGF17072021_PKPDDAMAI05
Penduduk melihat anggota tentera memasang dawai kawat duri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan akibat penularan virus Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pangsapuri Damai, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI,

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka tiada pilihan lain selain mula melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana rakyat sudah lama berkurung tanpa pendapatan.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat sudah tidak mampu bertahan lagi.

Ini kerana, rakyat sudah berkurung selama 202 hari sejak awal tahun ini iaitu 51 hari semasa PKP 2.0 dilaksana dari 13 Januari hingga 4 Mac, 71 hari semasa PKP 3.0 bermula pada 12 Mei sehingga hari ini.

”Rakyat sudah bawah PKP sekurang-kurangnya 122 hari (61%). Bakinya, kita di bawah PKPB atau PKPD,” kata beliau.

Najib berkata, Malaysia adalah antara negara dalam dunia dengan tempoh lockdown paling lama pada tahun 2021 tapi keadaan semakin parah.

Lagi mengejutkan ialah kadar kematian Malaysia semakin meningkat pada ketika purata kematian Covid-19 dunia menurun – malah kadar kematian telah melepasi tempoh paling parah bagi negara India yang pernah menjadi berita dunia pada masa itu, dakwa beliau.

Menurut beliau, kerajaan akan memberi kelonggaran ini walaupun jangkitan baharu dan kematian Covid-19 masih pada tahap tinggi sementara menunggu dan mengharap paras vaksinasi yang tinggi boleh menurunkan kes jangkitan.

Namun soalnya: “Apa yang akan terjadi jika keadaan Covid tidak menurun atau menurun dengan terlalu perlahan seperti apa yang berlaku di negara Chile yang sudah mencapai tahap vaksinasi cecah 70%?

”Sebab itu, saya sekali lagi saran kerajaan untuk memberi keutamaan paling tinggi untuk meningkatkan kapasiti rawatan sistem kesihatan untuk tempoh sementara dari sekarang juga agar semua rakyat yang sakit dapat diberi perhatian yang sewajarnya.

”Jangan hanya guna strategi “Move, tutup. Move, tutup” sebab mereka adalah manusia dan bukan angka,” kata Najib.

Tegas beliau, kapasiti rawatan perlu diberi bajet maksimum dalam keadaan kritikal ini.

”Sebab itu, dari bulan Januari semasa PKP 2.0 mula dilaksanakan dan pada bulan Mei masa PKP 3.0 bermula, saya telah berulang kali tuntut lockdown dibuat seketat mungkin bagi tempoh yang singkat agar PKP tidak diheret berlanjutan dan lebih banyak kematian dan kerosakan dapat dielakkan.

”Tapi kerajaan tak mahu dengar sebab mereka lebih suka buat kerja separuh masak berulang kali,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: