HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Julai 2021

Perikatan Nasional tidak adil soal pelanggaran SOP – Pejuang

 Muhammad Azizul Osman

pejuang
Pejuang

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa tidak berlaku adil terhadap golongan berpangkat dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melangar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Muda Malaysia, Akit Rusli berkata, Hamzah hanya berani mengeluarkan kenyataan tegas dalam mengambil tindakan terhadap rakyat semata-mata sedangkan ada pihak dalam PN masih belum diambil tindakan.

“Apakah Setiausaha Agung (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah hilang seketika bila mana wujud pelanggaran SOP PKP, bila adanya sesi persidangan menjamah durian di Batu Pahat oleh Ahli Bersatu yang juga merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan turut hadir seorang lagi Ahli Bersatu Datuk Zuraida Kamaruddin?,” soal Akif.

Katanya, kerajaan PN hanya lantang bersuara mengenai pelanggaran SOP terhadap golongan marhaen dan menutup mata bila mana melibatkan golongan ‘kayangan’.

“Adakah sekadar usaha untuk menunjukkan bahawa kononnya Kerajaan PN Plagiat ini tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran SOP?

“Persoalan yang sama turut dilontarkan kepada Pas yang begitu pantas untuk melaporkan perkara yang sama sedangkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali sendiri yang telah dua kali melanggar SOP tanpa sedikit penyesalan pun.

“Ini juga termasuk kepada pelanggaran SOP oleh Menteri Wilayah dan Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dari UMNO yang telah didenda dengan jumlah RM2,000 sahaja,” soal beliau lagi.

Pada 3 Julai lalu, Mohd Rashid antara 15 individu yang telah dipanggil untuk membantu siasatan kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran tular video beliau menjamu durian semasa berada di sebuah kebun di Batu Pahat.

Jelas Mohd Rashid yang kemudian tampil memohon maaf, video yang tular pada Selasa merupakan lawatannya ke kebun durian kampung diusahakan masyarakat setempat yang mana terkesan dengan PKP.

Menurutnya, kebun yang dilawati itu merupakan satu daripada kebun durian di daerah tersebut yang terjejas dengan PKP. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: