Rakaman klip audio tular dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan ketulenannya oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri semasa pertemuan semalam dengan Ahli-Ahli Parlimen (MP) di Wisma Perwira.
Pendedahan itu dibuat oleh portal Astro Awani yang mendedahkan sumber memberitahu Zahid membuat pengakuan itu dihadapan MP UMNO dan Barisan Nasional (BN) semasa pertemuan yang berlangsung selama lebih dua jam itu.
“Selain keputusan mesyuarat yang menolak cadangan menarik semula sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau (Ahmad Zahid) mengaku kepada semua itu suaranya dalam perbualan bersama Anwar yang viral tidak lama dahulu selain telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” kata sumber yang dipetik Astro Awani.
Mesyuarat tertutup antara Zahid dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama beberapa pemimpin tertinggi termasuk Datuk Seri Najib Razak berakhir sehingga tengah malam Isnin.
Pada April lalu, satu klip audio perbualan pakatan sulit antara Anwar dan Zahid tersebar dalam media sosial.
Perbualan kedua-dua pemimpin itu sangat mesra dengan mereka saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan ketika perhimpunan baru-baru ini.
Zahid dan Anwar kini sedang berdepan tekanan susulan penularan klip audio tersebut, mereka berdua juga pada awalnya mahu melaporkan kepada polis untuk menyiasat dalang penularan klip tersebut bagaimanapun pihak berkuasa berkata masih belum menerima sebarang laporan setakat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan