HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Julai 2021

Mahkamah benar ikat jamin selepas Syed Saddiq mohon dibicarakan kes pecah amanah RM1 juta

MALAYSIA NOW

Ahli Parlimen Muar itu memohon untuk dibicarakan di bawah Seksyen 405 Kanun Kesiksaan.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan wang sebanyak RM1.12 juta wang milik bekas partinya Bersatu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dituduh melakukan dua kesalahan di bawah Seksyen 405 dan 403 Kanun Keseksaan.

Beliau yang juga merupakan ahli Parlimen Muar mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq yang merupakan bekas pemuda Bersatu, yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Syed Saddiq menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 April 2018 hingga 21 April di Maybank Islamic Berhad, taman Pandan Jaya Kuala Lumpur.

Sekiranya Syed Saddiq disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Selepas meninggalkan Bersatu, Syed Saddiq mengasaskan Muda pada September 2020.

Beliau kini berkhidmat sebagai ahli Parlimen bebas sementara menunggu parti yang diasaskan beliau diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin kepada Syed Saddiq dan beliau diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah untuk simpanan dan perlu melaporkan diri sebanyak sekali sebulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur.

Beliau dibenarkan menjelaskan jaminan RM50,000 pada hari ini manakala baki sebanyak RM250,000 perlu dijelaskan selewat-lewatnya pada Selasa depan (27 Julai).

Bagi pertuduhan kedua pula, hakim membenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut menetapkan pengurusan kes bagi sebutan kes hari ini pada 10 September depan.

Tiada ulasan: