HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Julai 2021

[VIDEO] Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan

 Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

Syed Saddiq yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi dua pertuduhan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Rasuah, di sini hari ini atas dua pertuduhan.

Pertuduhan pertama, membabitkan penyelewengan dana politik kira-kira RM1 juta, manakala pertuduhan kedua membabitkan kesalahan menyalahgunakan wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000.

Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak mengaku bersalah ke atas kedua-dua dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq, didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas sebuah dana yang mana dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1juta melalui satu cek bank tempatan.

Pengeluaran yang dibuat oleh Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA Malaysia) itu tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Kesalahan dibuat pada 6 Mac 2020 di CIMB Bank Berhad di Menara CIMB KL Sentral, Tingkat Bawah, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral 2, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 405 kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun yang sama.

Sabit kesalahan, Syed Saddiq boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu dilakukan menerusi akaun Maybank Islamic Berhad di No 16 dan No 16A, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, pada 8 April hingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Manakala, tertuduh diwakili peguam, Gobind Singh Deo dan Datuk S. Ambiga.

Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 bagi kesalahan pertama dan RM30,000 bagi kesalahan kedua dengan masing-masing seorang penjamin.

Selain itu, Azura turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Tarikh sebuatan semula kes ditetapkan pada 10 September depan.-K! ONLINE

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: