Majlis Tertinggi (MT) UMNO digesa jangan berdiam diri melihat Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang secara terang-terang melakukan kesalahan melanggar peraturan parti, kata pemimpin senior Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Shahidan menggesa supaya tindakan diambil terhadap Zahid kerana sudah terdapat beberapa bukti yang jelas beliau bersekongkol dengan pembangkang untuk memastikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan membelakangi keputusan parti.
“Presiden UMNO secara terang-terang melanggar keputusan parti. Pertama menulis surat kepada Agong, yang mana pengisytiharan tersebut adalah tidak tepat dan boleh dianggap membuat kenyataan salah pada Agong.
“Kedua, audio percakapan dengan Anwar, dan ketika pengakuan Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas bahawa mereka tandatangan SD (akuan bersumpah) untuk suruh sokong Anwar di depan Anwar, Presiden, orang kenamaan dan ada beberapa kali Najib (Datuk Seri Najib Razak) hadir sama.
“Mereka ini layak diambil tindakan disiplin tetapi malangnya MT tidak berbuat demikian kerana mungkin tidak ada keberanian,” kata Shahidan dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini membuat pendedahan terlibat dalam rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional yang didalangi Zahid, bagaimanapun sudah menarik balik keputusannya sebelum ini dan kembali menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Shahidan, MT tidak boleh bersikap berat sebelah dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya tetapi Presiden pula bebas tidak dikenakan tindakan walaupun terdapat bukti jelas yang mengaitkan Zahid dengan kesalahan yang dilakukannya.
“Perbuatan tersebut adalah pilih kasih kerana ada orang yang kesalahan menegur Presiden telah diambil tindakan dan digantung keahlian UMNO seperti Lokman Adam dan Tun Faisal. Tetapi kesalahan yg dibuat Presiden, Ahli Majlis Tertinggi mendiamkan diri.
“Atas dasar nak menjaga keharmonian atau takut, ingin saya pesan sekali lagi bahawa majlis Tertinggi yang pegang jawatan memegang amanah. Jangan mendiamkan diri pada perkara yang tidak benar,” katanya lagi.
Spekulasi timbul apabila Zahid didakwa sedang melancarkan gerakan untuk mendesak Menteri UMNO meletakkan jawatan di samping menetapkan tarikh akhir 1 Ogos bagi parti itu keluar daripada kerajaan PN.
Zahid turut dilaporkan aktif mengarahkan menteri-menteri daripada partinya untuk meletakkan jawatan sebelum 7 Julai, tarikh di mana Kabinet akan bermesyuarat mengenai sidang khas Dewan Rakyat sebelum akhir bulan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan