MALAYSIAKINI
Selepas tular kempen kebajikan membantu golongan masyarakat yang terkesan akibat dampak pandemik melalui kibaran bendera putih, kini muncul pula seruan mengibarkan bendera hitam.
Satu kempen dalam talian telah tersebar mengajak orang ramai mengibarkan bendera hitam pada Sabtu 3 Julai ini dikatakan sebagai tanda "kegagalan" kerajaan PN sekarang.
Kempen itu digerakkan Sekretariat Solidariti Rakyat yang juga penganjur himpunan Undi18 dan Buka Puasa Buka parlimen sebelum ini, maklum setiausaha agung penaja parti Muda Amir Abdul Hadi pada satu kenyataan di media sosial.
"Sekretariat Solidariti Rakyat menuntut Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan perdana menteri serta-merta, buka parlimen dengan kadar segera dan tamat darurat," kata kenyataan itu.
Kumpulan itu juga menyeru seluruh rakyat Malaysia yang bersetuju dengan ketiga-tiga tuntutan tersebut untuk bersama-sama dalam kempen mengibarkan bendera hitam berkenaan.
"Pertama, mengibarkan bendera hitam pada 3 Julai 2021 (Sabtu) di hadapan rumah atau kedai atau jalan atau tempat-tempat yang sesuai.
"Kedua, ambil gambar dan hantarkan di media sosial anda secara serentak pada jam 3 petang.
"Ketiga, gunakan tanda pagar #Lawan pada setiap hantaran anda," kata Sekretariat Solidariti Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan