HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Julai 2021

Meterai perjanjian genjatan politik ketika pandemik – Azizuddin

MGF21072021_MG-SKOP-MUKHRIZ_04
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani bercakap pada program MG Skop bertajuk Politik Semasa Pandemik: Rakyat Jadi Mangsa? di Studio MG, Lakefields, Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE2021.

KUALA LUMPUR – Semua parti politik disaran memeterai perjanjian untuk melaksanakan genjatan politik dalam waktu pandemik.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, konsensus seperti itu perlu demi meredakan suhu politik pada waktu ini.

Dalam masa yang sama, keutamaan akan dapat diberikan kepada menangani isu rakyat yang dihimpit Covid-19.

“Saya minta kalau boleh suhu politik diredakan walaupun polemik politik berlaku sebab rakyat nak lihat matlamat negara, supaya dasar yang dibentuk itu difokuskan kepada rakyat supaya rakyat dapat dibantu.

“Parti politik sama ada pembangkang dan kerajaan perlu bersama sekarang ini. Mungkin genjatan politik boleh dimeterai,” katanya sebagai salah seorang panelis SKOP MG minggu ini yang bertajuk Politik Semasa Pandemik: Rakyat Jadi Mangsa? malam ini.

MGF21072021_MG-SKOP-MUKHRIZ_02
Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) bersama 
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin 
Mohd Sani (kanan) pada program MG Skop bertajuk Politik Semasa Pandemik: 
Rakyat Jadi Mangsa? di Studio MG, Lakefields, Kuala Lumpur. Foto 
MALAYSIA GAZETTE

Mengulas lanjut Mohd Azizuddin berkata, sekurang-kurangnya isu-isu politik perlu ‘direhatkan’ sehingga hujung tahun iaitu selepas imuniti kelompok dicapai dan ekonomi kembali pulih.

“Kurangkan suhu poltik, kalau ada perlu ada perjanjian genjatan politik buat perjanjian tapi fokus diberikan kepada ekonomi dan kesihatan dan kalau nak berpolitik selesaikan selepas capai herd imunity atau bila 80 peratus rakyat kita dapat vaksin,” tambahnya.

Bagaimanapun Mohd Azizuddin mengakui, parti-parti politik sukar untuk sepakat melaksanakan genjatan politik, berbanding negara lain.

Terdahulu penganalisis politik itu tidak menolak pergolakan dalaman Perikatan Nasional (PN) di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO menganggu kelancaran pentadbiran kerajaan.

“Politik yang mengganggu pentadbiran kerajaan sekarang. Disebabkan banyak isu semasa timbul menyebabkan PN dilihat lemah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: