HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Julai 2021

Salah jika MKT ‘keluarkan’ Umno daripada kerajaan sebelum Parlimen bubar, kata Shahidan, Annuar

Shahidan Kassim (kiri) dan Annuar Musa berkata keputusan menyokong 
kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen bubar telah diputuskan 
dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan menjadi satu kesalahan sekiranya 
pihak MKT keluar daripada kerajaan pada waktu diinginkan mereka.

PETALING JAYA: Dua pemimpin Umno, menegaskan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu memastikan parti itu kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen bubar untuk pilihan raya umum diadakan.

Dalam kenyataan berasingan, Shahidan Kassim dan Annuar Musa berkata, pendirian itu diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu dan menjadi satu kesalahan sekiranya pihak MKT bertindak sebaliknya.

Shahidan berkata, meskipun ada perwakilan menyokong supaya MKT menentukan tarikh untuk Umno keluar daripada kerajaan PN ketika PAU itu, namun ia merupakan ucapan dan bukan keputusan parti.

“Dalam ucapan Perhimpunan ada beberapa peristiwa berlaku di mana perwakilan bangun menyokong termasuklah supaya tarikh menentukan bila nak keluar (kerajaan) dibuat boleh MKT.

“Tetapi itu hanya ucapan dan bukan keputusan. Keputusan parti adalah berdasarkan usul yang dibawa oleh Saarani Mohamad (Menteri Besar Perak), dan usul yang disahkan naib presiden Umno bahawa tidak ada pindaan daripada usul itu,” katanya.

Shahidan yang juga pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata, jika ada keputusan PAU perlu dipinda, “maka hendaklah dipinda oleh PAU, bukan MKT.”

Beliau sekali lagi mendakwa, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi melanggar keputusan parti termasuklah menulis surat kepada Agong dengan memberi pengisytiharan tidak tepat berhubung pendirian parti.

“Selain itu, beliau melanggar keputusan parti berdasarkan audio percakapan dengan Anwar, dan juga ketika tandatangan SD untuk suruh sokong Anwar Ibrahim di depan Najib Razak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa pula berkata, dari sudut peraturan parti, PAU adalah badan pembuat dasar tertinggi di mana setiap keputusan dan usul bertulis diluluskan “tidak boleh diubah pihak lebih rendah” termasuk MKT.

“Jangan dilanggar usul bertulis yang diluluskan tanpa pindaan..jika di buat juga akan menimbulkan kontroversi yang mengundang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) campur tangan. Bagi perkara yg tidak menyentuh keputusan PAU, bolehlah MKT membuat keputusannya sendiri,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Semalam media memetik sumber sebagai berkata sebilangan besar ahli MKT memberi persetujuan untuk parti itu menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional sebelum 1 Ogos.

Menurut sumber itu, majoriti MKT memberikan persetujuan untuk Umno berbuat demikian dalam perjumpaan secara berperingkat dengan Zahid.

Kalangan pemimpin Umno menuduh Annuar dan Shahidan sebagai mesra PN sehingga membelakangkan kepentingan parti sendiri.

Bagaimanapun, mereka menafikan tuduhan itu  dan menyifatkannya sebagai tohmahan yang dilempar pemimpin berkepentingan peribadi.

Tiada ulasan: