HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Julai 2021

Siasatan rasuah AKSB, belum ada Exco Kelantan dipanggil, kata Timbalan MB

Nik Abdullah berkata, pendirian kerajaan negeri adalah jelas iaitu sesiapa 
yang terbabit akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk sebarang 
tindakan. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Belum ada anggota Exco kerajaan negeri dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beberapa Ahli Lembaga Pengarah AKSB sudah pun dipanggil untuk diambil keterangan.

“Apa yang saya difahamkan, isu ini lebih kepada masalah pegawai dan syarikat kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di Perumahan Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), di sini hari ini.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, pendirian kerajaan negeri adalah jelas iaitu sesiapa yang terbabit akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan.

Sebelum ini empat individu termasuk bekas pengurus besar AKSB telah ditahan untuk membantu siasatan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan projek bernilai lebih RM27 juta mulai 2015 hingga 2019.

Sementara itu mengulas mengenai dana RM600 juta yang dikatakan diterima oleh kerajaan negeri bagi penyelesaian isu air beberapa tahun lalu, Mohd Amar berkata sebenarnya wang yang dikatakan itu tidak pernah “berada di tangan” kerajaan negeri.

Beliau berkata kesemua projek yang siap dilaksanakan oleh kontraktor akan dimaklumkan kepada AKSB dan perkara itu akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan untuk sebarang pembayaran.

“Dalam isu ini, kerajaan negeri hanyalah “posmen” kerana pemilihan kontraktor atau syarikat dan semua pembayaran dilakukan oleh Kementerian Kewangan. Kerajaan negeri tidak pernah campur tangan,” katanya.

Tiada ulasan: