HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Julai 2021

Tukar kerajaan PN bukan lagi pilihan, jangan biar lebih ramai terkorban, kata Ahli Parlimen PKR

Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani berkata, perubahan tidak boleh dilengahkan 
kerana semakin hari rakyat makin derita.

PETALING JAYA: Pertukaran tampuk kepemimpinan bukan lagi pilihan tetapi wajib dilakukan segera ketika rakyat sedang menderita dan sengsara, kata Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, jika pertukaran pentadbiran sedia ada terus dilengahkan, dikhuatiri makin ramai rakyat merana akibat hilang pekerjaan serta kes kematian akibat Covid-19 akan terus bertambah.

“Kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini bukan mandat rakyat, jadi kita perlu segera kembalikan mandat rakyat. Perubahan ini tidak boleh dilengahkan kerana semakin hari rakyat makin derita, hilang kerja dan yang terkorban juga semakin ramai.

“Syarikat antarabangsa juga memberi amaran tidak berupaya bertahan dalam sistem dan kerajaan pada hari ini. Ini perlu segera dilakukan berdasarkan kuasa-kuasa yang dibenarkan dalam Perlembagaan,” katanya dalam sesi sembang di laman Twitter bertajuk “Rakyat Gagal? Kerajaan Berjaya?”

Beliau berkata, kepemimpinan Muhyiddin Yassin jelas gagal mempersembahkan penyelesaian segera terhadap krisis ekonomi dan kesihatan yang dihadapi negara, sebaliknya terus dalam “dunia” penafian.

“Jika kita nak tunggu pilihan raya umum baru nak tukar kerajaan, makin rosak negara, makin ramai rakyat kena Covid-19 dan ramai akan terkorban. PN jelas tidak berupaya menyegerakan penyelesaian.

“Sebab itu kita tidak ada pilihan, jika kita nak perkasakan sektor pekerjaan, bawa masuk pelaburan asing, kita kena tukar kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman yang turut senada dengan Abdullah berkata, pengganti Muhyiddin tidak boleh datang dari “sarang” yang sama kerana dikhuatiri kebobrokan yang wujud pada hari ini akan terus berlaku.

“Pengganti perdana menteri tidak boleh dari sarang yang sama, kalau datang dari kedudukan yang sama, sudah pasti keadaan yang sama juga akan berlaku.

“Ia mesti datang dari bentuk kepemimpinan baharu yang ada visi dan misi jelas yang boleh bawa negara keluar daripada masalah pandemik ini. Ini perlu disegerakan,” katanya.

Kementerian Kesihatan melaporkan 138 kes kematian, rekod harian tertinggi yang direkodkan sejak wabak itu dikesan di negara ini. Manakala, 12,528 kes harian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 905,851.

Tiada ulasan: