HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Julai 2021

Sidang Parlimen wajar diadakan 20 hari - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Persidangan Parlimen wajar diadakan dalam tempoh 20 hari bagi membolehkan lebih banyak usul dan perkara dibahaskan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, banyak perkara perlu dibentang dan dibahaskan termasuk isu berkaitan COVID-19 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Katanya, Ordinan Darurat terutamanya wajar dibahas Ahli Parlimen dan bukan dibentangkan dan diletakkan atas meja.

"Lebih penting sidang perlu diadakan secara bersemuka bukannya hibrid kerana Ahli Parlimen dan sebahagian kakitangan sudah divaksin," katanya kepada BH, hari ini.

Kerajaan hari ini bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya, berkata Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, keputusan kerajaan itu umpama 'melepaskan batuk di tangga' seperti dilakukan 'ala kadar' saja.

"Maka Ahli Parlimen akan menjadi seperti 'rubber stamp' bukan lagi penggubal undang-undang, pembuat dasar, pemberi idea dan cadangan bagi manfaat rakyat dan negara," katanya.

Namun beliau enggan mengulas apabila ditanya mengenai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Biro Politik UMNO mengenai keputusan terbaru kerajaan itu.

Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mengesahkan tiada sebarang mesyuarat Barisan Nasional (BN) diadakan untuk membincangkan keputusan terbaru kerajaan atau usaha untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon turut mengesahkan perkara sama ketika dihubungi.

Tiada ulasan: