HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Julai 2021

'Super-agency' - Azalina tuntut RCI Jabatan Peguam Negara

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kerajaan patut membentuk suruhanjaya siasatan diraja (RCI) pembaharuan Jabatan Peguam Negara (AGC), kata anggota parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Timbalan speaker Dewan Rakyat berkata perkembangan semasa semakin mengurangkan kepercayaan orang ramai terhadap jabatan itu.

Katanya, perkara itu mewujudkan kebuntuan politik, sekali gus menghalang usaha kerajaan mendapatkan kepercayaan dan dukungan awam bagi melawan Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Bekas pengamal undang-undang itu mencadangkan RCI itu melibatkan pakar-pakar perlembagaan.

Menurut Azalina, AGC kini bertindak seperti “super-agency” dengan empat peranan - menasihati kerajaan, membuat pendakwaan awam, menguruskan hakim mahkamah rendah dan mendraf undang-undang.

Katanya, tiga tugas pertama itu mewujudkan percanggahan kepentingan yang boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang dan mewujudkan pendakwaan terpilih atau keadaan bebas hukuman.

“Tanggapan ini mesti diperbetul,” kata bekas menteri Umno itu.

Menurut Azalina lagi, RCI patut mengkaji pemisahan peranan-peranan ini supaya AFC hanya menjadi penasihat undang-undang kerajaan.

Kuasa pendakwaan, katanya, patut diberikan kepada badan bebas bawah peguam cara negara, yang menikmati kebebasan dan jaminan kerja seperti hakim Mahkamah Persekutuan.

Hakim-hakim mahkamah lebih rendah pula boleh diletakkan bawah perkhidmatan kehakiman sebagai hakim-hakim khas bawah mahkamah khas.

“Akhir sekali, tugas mendraf undang-undang boleh diberikan kepada pejabat pendraf parlimen, yang bekerja bagi pihak kementerian kerajaan, Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Tiada ulasan: