HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 November 2021

13 wakil rakyat akan sertai Parti Bangsa Malaysia bulan depan

MALAYSIA POST

13 wakil rakyat akan sertai Parti Bangsa Malaysia bulan depan

DIJANGKA 13 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan menyertai parti baharu dikenali sebagai Parti Bangsa Malaysia, pertengahan bulan depan.

Pengasas parti itu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong berkata, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin belum pasti untuk menjadi Presiden penaja kepada parti itu.

Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Steven berkata, sama ada Zuraida akan memimpin parti itu atau tidak, perkara itu perlu dijawab Ahli Parlimen Ampang itu sendiri

Sejak akhir-akhir ini, desas desus mendakwa Zuraida bakal mengetuai parti baharu semakin bertiup kencang.

Ditanya mengenai hubungan parti itu dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula, Steven berkata, Parti Bangsa Malaysia cenderung menyokong kerajaan dan Ahli Parlimen Gombak tersebut merupakan anggota Kabinet.

Steven berkata, terdapat empat Ahli Parlimen dan tujuh Adun telah menyatakan minat untuk menyertainya, tetapi orang ramai tidak perlu berteka-teki mengenai barisan kepimpinan parti kerana perubahan boleh berlaku menjelang hari pelancaran pada pertengahan bulan depan.

“Bukan semua yang berminat menyertai kami ini adalah wakil rakyat bebas atau bekas ahli satu-satu parti yang khusus,” katanya dalam wawancara bersama Nanyang Siang Pau.

Turut menyertai Steven dalam temuramah itu adalah Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, yang seperti Steven merupakan bekas wakil rakyat dari PKR.

Menurut Steven, perlembagaan Parti Bangsa Malaysia adalah lebih fleksibel iaitu majlis tertinggi boleh melantik orang lain untuk mengisi jika berlaku kekosongan kerana peletakan jawatan.

Katanya, dua timbalan presiden, termasuk satu yang dikhususkan untuk wakil dari Borneo akan diwujudkan.

Dalam pada itu, Larry berkata, perikatan parti politik yang mentadbir negara sewajarnya mempunyai parti mewakili kemajmukan untuk membantu kaum berlainan.

Katanya, Parti Bangsa Malaysia menyediakan satu platform kepada wakil rakyat bebas untuk bersuara secara bersekutu dan bukannya secara bersendirian. – Malaysiapost

Tiada ulasan: