Israr Khalid
Seberapa serius parti-parti politik mahu membanteras kegiatan lompat parti?
KUALA LUMPUR:
Hanya 65.85 peratus pengundi berdaftar keluar mengundi pada Pilihan
Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari jelas menunjukkan rakyat sudah muak
dengan semua ini.
Mana tidaknya, dahulu
pada 2018, ketika mereka bersemangat keluar mengundi pun sudahnya ada
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat masuk ke parti
lain.
Itu
lantas mencetus kemelut, seterusnya menyebabkan pilihan raya sekali
diadakan ketika rakyat sedang tercungap-cungap bangkit dari tersungkur
dek penangan COVID-19.
Sudahnya mereka malas.
Namun
sampai bilakah hal ini akan dibiarkan? Lama-lama boleh runtuh juga
kestabilan sesebuah negeri dan negara, tak mahulah sampai jadi
porak-peranda.
Barisan Nasional (BN)
selepas menang bergaya dalam PRN Melaka pada 20 November lalu telah
menyuarakan janjinya - tekad mencadangkan enakmen antilompat parti dalam
sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pertama sejurus
pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
Bagaimana usaha ini dapat menghalang kewujudan ahli politik ‘katak’ baharu dan keupayaan mereka untuk melompat ke bekas baharu?
Pertama,
Perlembagaan Negeri perlu dipinda untuk membolehkan rakyat memecat ADUN
yang melompat, kemudian Enakmen Pemecatan ADUN Antilompatan perlu
dibawa ke sidang DUN dan diluluskan.
Jika
selepas itu ada lagi ADUN yang melompat, rakyat yang membantah boleh
membuat petisyen pemecatan di Lembaga Pemecatan ADUN (LPA) dengan
meletakkan deposit RM5,000.
LPA kemudian
membuka 10 tempat dalam kawasan yang terlibat selama tiga minggu untuk
pengundi menurunkan tandatangan ke atas borang sokongan seandainya
bersama dalam petisyen tersebut.
Sekiranya
sokongan mencapai 40 peratus jumlah pengundi berdaftar atau separuh
daripada kadar keluar mengundi pada PRN yang lalu, ADUN terbabit akan
dipecat dan Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan dalam tempoh 60 hari
daripada tarikh pemecatan itu.
Namun,
jika petisyen tidak mendapat sokongan sekurang-kurangnya 12.5 peratus
pengundi yang mendaftar, ia akan dibatalkan dan pencadang akan
kehilangan deposit.
Mungkin BN ada cara
dan mekanisme tersendiri untuk melaksanakannya, atau ada cara yang lebih
baik lagi berlandaskan perkiraan sains politik?
Agenda AWANI malam
ini bersama Ahli Parlimen Pengerang merangkap Ahli Majlis Kerja
Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman dan saintis politik yang juga
Timbalan Ketua Pengarah Eskekutif Asian Strategy & Leadership
Institute, Prof. Wong Chin Huat.
Jangan lupa, jam 8.30 malam, hanya di saluran 501 dan astroawani.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan