HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 November 2021

BN tak perlu ambil dua ADUN PN sertai Kerajaan Melaka: Mat Hasan


Tidak ada keperluan untuk membawa bersama dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dalam pembentukan Kerajaan Melaka, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu makan bersama,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan, malam tadi.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO itu berkata wakil rakyat PN boleh dibawa bersama sekiranya BN tidak mempunyai kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Kalau kita (BN) tidak cukup kerusi betul la… tapi kita sudah berlebih kerusi. Dalam kalangan kita juga sudah berlebih nak lantik Exco, jadi apabila membuat sesuatu, justifikasi mesti ada.

“Bagi saya tidak ada keperluan,” katanya mengulas kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Pada PRN itu, BN menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, lima oleh Pakatan Harapan dan dua dimenangi PN.

Dua calon PN yang menang dalam PRN itu ialah Dr Mohd Aleef Yusof di DUN Sungai Udang dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (DUN Bemban).

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dilaporkan akan berbincang dengan pucuk pimpinan BN, sama ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN boleh bersama dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu itu, atau sebaliknya.

Beliau berkata, walaupun pentadbiran Kerajaan Persekutuan menjalinkan kerjasama dengan PN, senario PRN Melaka yang menyaksikan BN bertanding secara solo, perlu diambil kira.

Tiada ulasan: