HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 November 2021

Gerakan parti paling “cheap” dalam politik Malaysia – Anthony Loke

MALAYSIA POST

Gerakan parti paling “cheap” dalam politik Malaysia – Anthony Loke

SETIAUSAHA Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menyifatkan Gerakan sebagai parti paling murahan dalam politik Malaysia hari ini, selain tiada prinsip, nilai dan maruah diri.

Loke berkata, Gerakan ditolak sepenuhnya oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila kalah di semua kerusi yang ditandinginya.

Katanya, selepas Barisan Nasional (BN) hilang kuasa di Putrajaya pada tahun 2018, parti tersebut antara yang paling awal meninggalkan BN.

Seterusnya Loke berkata, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada tahun 2019, Gerakan memaklumkan ia mahu menjadi “kuasa ketiga” namun calonnya hilang deposit.

“Selepas Langkah Sheraton, dia (Gerakan) antara yang paling awal mengemis dari (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) untuk menjadi parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Dalam PRN Melaka minggu lepas, parti ini bertanding lima kerusi di bawah PN dan dia kata akan sapu semua kerusi tersebut.

“Keputusannya, semua lima kerusi yang ditandinginya kalah termasuk dua calonnya hilang deposit,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Loke berkata, tiga hari selepas ditolak mentah-mentah oleh pengundi Melaka, Presidennya, Dominic Lau mengangkat sumpah sebagai Senator.

“Parti yang paling “cheap” dalam politik Malaysia pada hari ini. Tidak ada prinsip, tidak ada nilai, tidak ada maruah diri.

“Yang paling utama untuk pemimpin mereka ialah ada jawatan dalam kerajaan walaupun tidak ada mandat dari rakyat,” katanya.

Semalam Lau mengangkat sumpah sebagai Senator untuk tempoh sehingga 23 November 2024 di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim. – Malaysiapost

Tiada ulasan: