HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 November 2021

GRS perlu didaftar sebagai gabungan politik rasmi

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak. - Foto NSTP
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak. - Foto NSTP

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan supaya pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil langkah segera mendaftarkannya sebagai gabungan politik rasmi.

Beliau berkata, langkah mengukuhkan gabungan yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) September tahun lalu itu perlu bagi mengelak perpecahan dalam kalangan ahli gabungan, khususnya di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, perpecahan di antara kedua-dua gabungan politik itu yang dilihat ketika PRN Melaka baru-baru ini perlu dijadikan peringatan agar tidak berjangkit ke negeri ini memandangkan situasi politik Sabah berbeza dengan Semenanjung.

"Dalam hal ini, pemimpin GRS perlu duduk bersama untuk membincangkan tindakan segera bagi memperkasa kedudukan GRS. Sangat penting untuk memperkasa GRS bagi menentukan hala tuju gabungan itu sendiri.

"Sehubungan itu, kita perlu memberi keutamaan untuk mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi. Pemimpin GRS perlu membincangkan perkara ini dan merealisasikannya.

"GRS boleh menimbangkan untuk membuka keahlian secara terus kepada parti lain untuk menjadi ahli gabungan itu, selain individu yang mahu menjadi ahli GRS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan yang juga Pengerusi Kelab Backbencher GRS itu, berkata GRS perlu memastikan rakyat negeri ini tidak lagi keliru mengenai kedudukan gabungan berkenaan.

Katanya, GRS perlu terus memberi tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat Sabah, terutama dalam membangunkan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyediakan generasi muda sebagai pemimpin masa depan Sabah.

"Secara peribadi, saya sudah menyampaikan pandangan saya mengenai perkara ini kepada kepemimpinan tertinggi GRS.

"Memang ada perbezaan pendapat tetapi demi masa depan Sabah, saya percaya adalah sangat penting untuk kita membincangkan perkara ini secara terbuka, boleh diterima akal dan membina," katanya.

Salleh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, berkata GRS perlu mengetepikan polemik politik dan kekal fokus bekerja untuk Sabah demi masa depan negeri ini.

"Sabah dianugerahi dengan kekayaan alam semula jadi dan rakyat berbilang kaum yang dikenali dengan sikap toleransi mereka.

"Negeri ini sudah wujud sebagai sebuah entiti sejak 140 tahun yang lalu, iaitu sejak 1 November 1881. Bagi memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan, GRS perlu mengetepikan polemik politik, sebaliknya kekal fokus bekerja," katanya.

Terdahulu, Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata PRN Melaka baru-baru ini memperlihatkan perlunya pemimpin GRS bertindak mengukuhkan hala tuju gabungan berkenaan.

Katanya, GRS yang diwujudkan pada 12 September 2020 sebagai sebuah gabungan parti tempatan Sabah yang merangkumi BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi menghadapi PRN-16 diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan negeri.

"Gabungan GRS berkesan kerana ia membabitkan kerjasama parti nasional dan parti tempatan, yang mana ada struktur yang jelas dan semua mempunyai peranan yang penting," katanya.

Tiada ulasan: