HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 November 2021

PAS perlu utamakan agenda ummah dalam perkukuh hubungan MN, PN

Oleh Zuhayati Yazid

Jangan jadi Pak Turut, perlu bijak dan tidak cepat ‘tergoda’

BANGI – Rakyat kini sedang menunggu keputusan PAS sama ada mahu kembali memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) atau terus kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Pandangan berkenaan disuarakan oleh Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim yang tidak mahu parti itu sekadar menjadi Pak Turut sehingga melunturkan agenda sebenar mereka.

“Kini rakyat sedang menunggu dan menilai hala tuju PAS yang sebenar, sebab itu tidak boleh tergopoh-gopoh dan cepat buat keputusan sebaliknya perlu memikirkan masa depan dengan keputusan yang dibuat.

“Perlu diingatkan peranan PAS selama ini menjadi perantara dan menyatukan semula UMNO dan PN.

“Sekiranya PAS kembali memperkukuhkan MN ia dilihat sebagai mahu ambil kesempatan dan menumpang di atas kesenangan UMNO sekali gus meninggalkan slogan selama ini sebagai agenda penyatuan ummah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini

Atas dasar itu, Ustaz Zamani berkata, pimpinan PAS perlu bertindak bijak dan tidak cepat ‘tergoda’ dalam membuat keputusan.

Katanya, walaupun Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun ia bukanlah penentu segala-galanya.

Pada gambaran yang luas, katanya, parti itu masih lemah dan sekadar bernasib baik untuk memenangi PRN Melaka.

“Kemenangan itu sekadar dalam peratus yang kecil, malah ramai lagi pengundi muda tidak pulang menunaikan tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Malah beliau berpandangan walaupun PN kalah dalam percaturan itu, namun ia tetap’ bernadi’ dan peratusannya masih kekal seperti dulu.

Tiada ulasan: